Anda di sini

JAIS sedia bantu wanita selesai status agamanya

Advertisement

SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sedia membantu seorang wanita menyelesaikan masalah status agamanya setelah dia dikatakan tidak pernah mengamalkan kehidupan sebagai seorang Islam.

Menyatakan demikian, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, wanita tersebut yang ditahan dalam majlis perkahwinannya di sebuah kuil Hindu di Petaling Jaya Ahad lepas disahkan tidak pernah mengamalkan ajaran Islam.

“JAIS telah memaklumkan bahawa siasatan awal menunjukkan wanita yang terlibat telah didaftarkan atas nama Islam oleh bapanya atas faktor-faktor peribadi tetapi tidak pernah mengamalkan cara hidup dan ajaran Islam.

“Setelah berbincang secara teliti isu tersebut, JAIS menyatakan kesediaan untuk membantu wanita berkenaan menyelesaikan masalah status agamanya,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, JAIS  melakukan serbuan ke atas kuil berkenaan sebelum menahan pengantin wanita terbabit susulan menerima aduan orang awam yang mendakwa wanita itu beragama Islam.

Pada perkembangan lain, Abdul Khalid berkata kerajaan negeri akan membuka peluang kepada mana-mana pihak yang bersedia untuk mentadbir dan menguruskan semula Hotel Quality Shah Alam. — Bernama

Advertisement