Anda di sini

Abdul Hamid sedia bincang dengan tiga lagi pemilik Restoran Line Clear

Advertisement

GEORGE TOWN: Seorang daripada pemilik Restoran Nasi kandar Line Clear Abdul Hamid Seeni Pakir bersedia berbincang dengan tiga lagi pemilik restoran terbabit bagi menyelesaikan pertikaian hak pemilikan terhadap premis perniagaan itu.

Menurut peguamnya Rosli Ismail, khidmat orang tengah iaitu Pertubuhan Liga Muslim Pulau Pinang akan digunakan sekiranya semua pihak bersetuju mengadakan perbincangan bagi menyelesaikan kemelut yang berlaku.

“Kami sedia berbincang dan berilah sedikit masa kepada Liga Muslim untuk selesaikan masalah yang telah berpuluh-puluh tahun wujud, dan ia tidak boleh selesai dalam tempoh 14 hari.

“Tindakan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) untuk menutup premis jika gagal menyelesaikan masalah yang berlaku bukanlah satu tindakan yang tepat, sekiranya ada bukti kukuh di pihak yang menuntut, kemukakanlah,” katanya kepada pemberita dalam sidang media yang diadakan di restoran itu di sini semalam.

Rosli berkata anak guamnya juga akan membayar sagu hati kepada 12 ahli keluarga yang mempunyai kepentingan termasuk pihak yang menuntut hak terhadap premis berkenaan sepanjang tempoh perbincangan yang akan diadakan.

“Setiap ahli keluarga mendapat bayaran sagu hati setiap bulan dengan jumlah yang tinggi. Bayaran itu dibuat apaila Abdul Hamid mengambil alih pengurusan restoran ini sejak 1990 hingga sekarang.

“Jadi wajarkah anak kepada pengasas restoran ini tidak diberikan lesen untuk berniaga,” katanya yang menjelaskan telah mengemukakan lebih daripada 10 pucuk surat kepada MPPP bagi menjelaskan situasi yang berlaku serta permohonan lesen perniagaan.

Pada 2 Jun lepas Pengarah Bahagian Pelesenan MPPP Azman Sirun berkata pihaknya akan mengeluarkan notis pengosongan premis tersebut dalam tempoh 14 hari sekiranya keempat-empat rakan kongsi restoran itu iaitu Abdul Hamid, Sahubarali China Mohd Hanibah, Abdul Latif Thulkarunai dan Pathumah Iskandar gagal menyelesaikan masalah di antara mereka.

Azman berkata tindakan itu bagi menyusun semula aktiviti penjajaan selaras dengan undang-undang kecil yang dikuat kuasa MPPP. — Bernama

Advertisement