Anda di sini

22 warga Filipina mengaku salah guna kad pengenalan orang lain dan palsu

Advertisement

SERI MANJUNG: Sejumlah 22 orang warga Filipina didenda RM5,000 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret di sini semalam selepas mereka mengaku bersalah menggunakan kad pengenalan palsu dan kad pengenalan tulen milik orang lain.

Majistret Nurul Asyifa Redzuan turut memerintahkan kesemua mereka dipenjara lima bulan jika gagal membayar denda tersebut selain merujuk tertuduh kepada Jabatan Imigresen bagi tujuan pengusiran sebaik sahaja selesai menjalani hukuman.

Peguam Abdul Roni Abdul Rahman mewakili Hassan Bakilan, 21, Nasil Aknalin, 26, Abdul Gani Aukasa, 32, Monsatar Ashgar, 27, dan Sani Bakilan, 21.

Tertuduh lain yang tidak diwakili peguam ialah Hajan Awalun, 33, Wilim Sikal, 23, Binjamal Mohamad, 28, Garsia Salamadin, 25, Al-Kamarul Amin, 25, Hashim Sami, 25, Besari Rajang, 35, Madzpar Julain, 35, Kerong Sakif, 41, Munir Amad, 39, Sangkuta Gekeri, 52, Benhar Asim, 29, Hassan Anudin, 36, Rashid Mokhsan, 42, Janloyd Wahab, 25, Alkabir Ajamin, 23, dan Naning Yusuf, 24.

Sani, Janloyd, Alkabir dan Naning didakwa menggunakan kad pengenalan tulen milik orang lain manakala 18 yang lain dituduh menggunakan kad pengenalan palsu.

Kesemua mereka yang masing-masing berasal dari Zamboanga dan Basilan, Filipina, didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan kilang Sapura Kencana Petroleum Berhad, Fabrication Land, POLT.1, Kampung Acheh di Sitiawan di sini antara jam 7.30 pagi hingga 11.30 malam, 22 Mei lepas.

Pegawai Pendakwa Jabatan Pendaftaran Sulaiman Ghamat berkata 22 orang warga Filipina itu ditahan semasa Operasi Bersepadu yang dijalankan anggota Jabatan Pendaftaran, polis, RELA dan Jabatan Imigresen di sekitar Pelabuhan Lumut di sini.

Mereka dituduh mengikut Peraturan 25 (1) (e) Peraturan- peraturan Pendaftaran Negara Malaysia 1990 (Pindaan 2007) yang boleh dihukum menurut peraturan sama.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun atau didenda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali. — Bernama

Advertisement