Oleh Harry Ilias //
Misi skuad tenis tercapai dengan merangkul empat emas, dua perak dan tiga gangsa
KEKAL JUARA: Ketua Kontinjen, Datuk Lee Kim Shin (tiga kanan) dan Liew (dua kiri) bersama para pegawai, jurulatih dan atlet skuad tenis Sarawak pada majlis penyampaian hadiah semalam.
PERLIS: Pelaburan besar skuad tenis Sarawak nyata berbaloi setelah dinobatkan juara keseluruhan dengan merangkul empat emas, dua perak dan tiga gangsa.
Kejayaan itu juga memastikan Sarawak mencapai misi mengekalkan kejuaraan yang dimenangi pada SUKMA 2010 dengan pungutan tiga emas, empat perak dan tiga gangsa.
Pada hari terakhir di Kompleks Tenis Sukan Negeri Perlis semalam, Sarawak memunggut tiga emas masing- masing dalam acara perseorangan lelaki dan wanita dan beregu lelaki.
Mohamad Assri Merzuki menghadiahkan emas pertama setelah berjaya menewaskan Syed Mohamad Agil Syed Naguib 2-1 (4-6, 6-2, 6-4).
Ini diikuti dengan kemenangan Aslina Chua dengan menewaskan pemain tuan rumah, Sharifah Syafeenaz Syed Azmir dengan 2-0 (6- 1, 6-3).
Sarawak menutup acara tenis dengan kemenangan ketiga yang dilakar oleh Assri dan Ariez Elyaas Deen Hesham dalam acara beregu lelaki.
Mereka menundukkan Damien Rocky Manaval/Sri Aakash dari Selangor dengan 2-0 (6-2, 6-3).
Presiden Persatuan Lawn Tenis Sarawak (SLTA), Datuk Patrick Liew berbangga dengan pencapaian skuad tenis kali ini merupakan yang terbaik sepanjang menyertai SUKMA.
“Saya sangat gembira kerana atlet bukan sahaja berjaya memperbaiki jumlah pungutan pingat namun turut mempertahankan gelaran juara keseluruhan,” katanya di sini semalam.
Menurut Patrick, kejayaan yang dikecapi itu berkat dedikasi serta komitmen berterusan para atlet, jurulatih dan pegawai selama ini.
Sementara itu, Sarawak mengekalkan statusnya selaku kuasa dalam sukan wushu dengan merangkul juara keseluruhan setelah meraih lima emas, lima perak dan enam gangsa pada SUKMA kali ini.
Bagaimanapun, pungutan pingat mereka kali ini gagal menyamai pencapaian pada 2012 di Pahang dengan tujuh emas, tujuh perak dan tiga gangsa.
Hari terakhir acara berkenaan Dewan KSN Kangar semalam menyaksikan Sarawak hanya menambah satu emas, satu perak dan tiga gangsa.
Emas diraih dalam acara nangun lelaki menerusi Andy Chan Song Cong.
Manakala perak disumbangkan oleh Amelia Su Leh Wern dalam acara gunshu wanita.
Tiga lagi gangsa dirangkul oleh Lee Hui Xian (gunshu wanita), Clement Thian (gunshu lelaki) dan Farold Tan Yi Chie (taijijian lelaki).
Pengurus Pasukan William Kong Sing Yii memuji prestasi atletnya setelah berjaya mengekalkan kejuaraan Sarawak dalam acara tersebut.
“Secara keseluruhan prestasi atlet kita pada SUKMA ini sangat cemerlang kerana kita berjaya melepasi sasaran dua pingat emas.
“Saya juga sangat berpuas hati dengan sumbangan atlet baharu yang masih muda kerana mampu memberikan saingan kepada lawan yang jauh lebih tua dan berpengalaman,” katanya.
Beliau juga percaya barisan atlet muda itu akan lebih menyinar pada SUKMA 2016 di Sarawak nanti.