PERLIS: Skuad boling padang Sarawak menutup tirai acara berkenaan dengan membawa pulang satu emas dan satu gangsa, sekali gus memperbaiki pencapaian dua gangsa yang dilakar pada SUKMA 2012.
Ketua Jurulatihnya, Nurul Asma Sani tetap berpuas hati dengan pencapaian atletnya sekalipun tidak berjaya mencapai sasaran dua pingat emas.
“Kita berjaya memperbaiki pencapaian kali ini dengan meraih satu emas dan satu gangsa.
“Secara keseluruhan prestasi atlet kita semakin meningkat dan saya sangat berpuas hati dengan apa yang telah mereka sumbangkan,” katanya di sini semalam.
Pada hari terakhir semalam, Sarawak sekadar meraih gangsa dalam acara Berpasangan Lelaki setelah tewas 12-14 di tangan Perak dalam peringkat separuh akhir.
Gandingan Mohd Fairus Abg Deni dan Mohd Samsullaiman Yakub menampilkan aksi mantap namun gagal mengekang kemenangan kehebatan pemain lawan yang menurunkan Mohammad Firdaus Mustapha dan Mohammad Lokman Mohd Isa.
Emas Sarawak dalam acara boling padang diperolehi menerusi acara Berempat Wanita.
Dalam pada itu, pencapaian memungut dua emas pada 2012 gagal diulangi oleh skuad berbasikal Sarawak yang pulang dengan hanya meraih dua gangsa pada edisi kali ini.
Dari 10 acara yang disertai, pelumba Sarawak hanya mampu membawa pulang dua gangsa dalam acara berbasikal bukit yang dimenangi Garry Tay dan Noor Fadilah Saedin.