Anda di sini

Peserta ekspedisi KE7B FELDA Greenland 2014 selamat pulang

Advertisement

SEPANG: Meskipun menempuhi pelbagai cabaran dan dugaan selama 27 hari, akhirnya peserta Kelab Eksplorasi 7 Benua Malaysia (KE7B)  yang menyertai ekspedisi merentasi Greenland, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL di sini semalam.

Rombongan ekpedisi yang disertai lapan orang termasuk seorang wanita itu tiba kira-kira jam 7.30 pagi dan disambut dengan laungan ‘Malaysia Boleh’ oleh anggota keluarga dan sahabat handai.

Menurut Ketua Ekspedisi Yanizam Mohamad Supiah antara cabaran yang paling getir ialah terpaksa menempuh cuaca sejuk sangat ekstrem mencecah -35 darjah celsius.

“Alhamdulillah kami berjaya menamatkan ekspedisi lebih awal daripada sasaran yang ditetapkan iaitu 35 hari,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Yanizam berkata ada juga peserta mengalami masalah kesihatan seperti batuk berdarah dan buasir.

“Tetapi disebabkan semangat yang kuat untuk mengharumkan nama negara, kami teruskan juga meskipun dengan membawa beban sebanyak 70 hingga 80 kilogram seorang serta melalui perjalanan sejauh 540 kilometer,” katanya.

Shaiful Hisyam Abdul Aziz, 25, anak peneroka Felda Gedangsa, Hulu Selangor berkata walaupun diserang batuk berdarah namun tidak mematahkan semangatnya untuk meneruskan perjalanan.

“Memang sukar dengan cuaca sejuk dan tidak sihat tapi semangat yang diberikan rakan-rakan lain membuatkan saya yakin mampu menamatkan ekpedisi, “ katanya.

Sementara peserta tunggal wanita dalam ekspedisi itu, Tahira Naj­munisaa berkata beliau tidak menganggap dirinya sebagai beban dalam kumpulan itu tetapi bersama-sama penjelajah lain bekerja dalam satu kumpulan.

“Saya bertuah kerana suami Abdul Rahman Abu Hassan yang turut serta dalam ekspedisi banyak memberi bantuan ketika menghadapi masalah melecet di bahagian kaki,” katanya.

Ekpedisi itu turut disertai Mohd Akasyah Jamaludin, Muhammad Irwan Yusuf Abdullah, Muhd Hafizuddin Abdul Mutalib dan Muhammad Musaddiq Samsudin. — Bernama

Advertisement