Anda di sini

Penan Long Beruang sudah mula memperkembangkan sumber mereka

Advertisement

Oleh W.Bolly Ongie //

UNTUK PERTANIAN: Jabu (tengah) menyampaikan anak semaian pisang kepada Ketua Kaum Long Beruang, TK Gar, sambil disaksikan oleh Datu Dr Ngenang Janggu.

MASYARAKAT Penan di Long Beruang, Ulu Baram, kini tidak lagi bergantung kepada aktiviti berburu dan mencari hasil hutan semata-mata, sebaliknya mulai tahu bagaimana memanfaatkan sumber-sumber hutan yang kaya di sekeliling mereka.

Kini masyarakat Penan Long Beruang sudah mulai ‘menceburi’ bidang membuat kraf tangan tradisional mereka menggunakan sumber hutan yang ada terutama rotan.

Bangunan ICT Long Beruang yang dibuka di kawasan penempatan Penan tersebut, merupakan satu lagi mercu tanda baharu kepada penduduk di situ.

Bangunan paling moden di Long Beruang itu bukan sahaja untuk tujuan pendidikan dan pengetahuan kepada penduduk, khususnya generasi muda Penan di Long Beruang, malah ia diambil kesempatan oleh golongan wanitanya untuk membuka sudut hasil kraf tangan mereka.

Di sudut itu mereka bukan sahaja mempamer malah menjual kraf tangan mereka kepada pengunjung yang datang, bagi menambahkan sumber pendapatan mereka dan antara yang cukup popular di kalangan pelawat ialah ‘belanyat’ atau bakul yang diperbuat daripada rotan, selain gelang Penan dan banyak lagi.

Lebih mengagumkan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu yang datang mengadakan lawatan ke Long Beruang baru-baru ini, golongan wanita Penan di situ kini sudah belajar membuat kek dan kuih-muih daripada tepung ubi kayu, untuk dihidangkan kepada tetamu mereka.

TERTARIK: Jabu (dua kanan) dan ketua masyarakat kaum Penan Miri Datuk Temenggung Hassan Sui, tertarik dengan pelbagai kraf tangan yang diperbuat daripada rotan dan buluh oleh masyarakat Penan Long Beruang yang dipamerkan di Pusat ICT Long Beruang.

Selain menanam getah berkualiti tinggi, kaum Penan di Long Beruang ini juga menanam buah-buah dan sayur-sayuran yang membawa hasil menguntungkan mereka seperti sayur ensabi, buah ubi kayu, pisang, nanas dan banyak lagi.

Di Long Beruang, walaupun belum ada sekolah rendah tetapi kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), telah membuka sebuah Tabika KEMAS yang turut ditempatkan di Bangunan ICT Long Beruang.

Sebaik kanak-kanak di situ tamat alam tadika, mereka akan meneruskan pembelajaran Sekolah Kebangsaan (SK) Long Banga ataupun SK Long Lamai untuk tahun Satu hingga enam.

Malah Jabu dalam lawatannya itu memberitahu, kerajaan bercadang mahu menubuhkan sebuah Sekolah Menengah K.9 yang kedua di Daerah Baram, selepas yang pertama di SK Long Bedian dalam kawasan Apoh.

Advertisement