Anda di sini

Kerjasama komponen BN faktor kemenangan Mah

Advertisement

Jentera parti bergerak dengan baik kerana strategi teratur

TELUK INTAN: Kerjasama kukuh parti komponen Barisan Nasional (BN) merupakan antara faktor utama BN mencatat kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan Sabtu lepas, kata Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata kemenangan itu juga terhasil daripada usaha gigih anggota parti dalam mengatur strategi dan kombinasi rapi di setiap pusat daerah mengundi bagi membolehkan jentera parti bergerak dengan baik sekali.

“Kita menyaksikan eksperimen yang cukup baik antara (parti) GERAKAN dan MCA, bekerja secara satu hati bersama-sama memastikan BN menang dalam pilihan raya kali ini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan mesra bersama anggota Parlimen Teluk Intan Datuk Datuk Mah Siew Keong di beberapa daerah mengundi di sini semalam.

Katanya peranan parti komponen yang mewakili masyarakat India dalam BN juga turut menyumbang kepada kemenangan dan kejayaan BN merampas kembali kerusi Parlimen Teluk Intan yang dikuasai pembangkang selama dua penggal.

Beliau berkata kemenangan itu diangggap sukar memandangkan Teluk Intan juga dikatakan kubu kuat DAP namun, apabila mempunyai perancangan yang baik, ia sekali gus membolehkan BN memenanginya.

Dalam pilihan raya kecil berkenaan, BN menang menerusi Mah yang mengalahkan calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud dengan majoriti 238 undi. Mah memperoleh 20,157 undi berbanding Dyana Sofya 19,919 undi.

Zambry berkata justeru itu, semua pemimpin dan anggota parti perlu menggandakan usaha mendampingi dan menyelesaikan masalah rakyat di Teluk Intan sebaik mungkin.

Sementara itu, Mah berkata DAP seharusnya menerima keputusan PRK itu dengan hati terbuka dan bukannya menyalahkan pihak lain berhubung kekalahan parti itu.

“Pembangkang tidak henti-henti menyalahkan pihak lain kecuali diri mereka sendiri. Pilihan raya sudah habis dan kita nak teruskan kerja, jangan bermain politik lagi,” katanya.

Beliau mengulangi janjinya untuk bekerja kuat ke arah pembangunan dan pembelaan penduduk Teluk Intan.

“Projek berimpak besar akan ambil masa tetapi masalah kecil seperti jalan berlubang, lampu jalan atau longkang tersumbat perlu diselesaikan secepat mungkin,” katanya. — Bernama

Advertisement