Anda di sini

Johor akan perluas program ‘Ikan Rakyat’ ke seluruh negeri

Advertisement

NUSAJAYA: Kerajaan Johor akan memperluaskan program ‘Ikan Rakyat’ dengan membuka lebih banyak kedai jualan ke daerah lain di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor Datuk Tee Siew Kiong berkata ‘Ikan Rakyat’ dibekalkan Persatuan Nelayan Kawasan Johor Selatan di bawah seliaan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan buat masa ini kebanyakan kedainya di sekitar bandar raya Johor Baharu.

“Kenaikan harga ikan di seluruh negara berlaku pada masa tertentu yang disebabkan beberapa faktor termasuk musim tengkujuh.

“Sehubungan itu, kerajaan menerusi LKIM memperkenalkan program jualan ‘Ikan Rakyat’ bagi menjadi pilihan kebanyakan rakyat kurang berkemampuan,” katanya menjawab soalan Datuk Saipolbahari Suib (BN-Bukit Naning) pada persidangan Dewan Undangan Negeri Johor ke-13, di sini, semalam.

Beliau berkata ‘Ikan Rakyat’ dijual dalam bentuk sejuk beku kepada pengguna melibatkan beberapa jenis ikan termasuk kembung, selar, cencaru, kerisi, pelaling dan selayang.

Selain itu, Tee berkata kerajaan negeri dan LKIM juga sedang menyediakan infrastruktur untuk melaksanakan program pasar nelayan di negeri ini yang membolehkan nelayan menjual sendiri hasil tangkapan mereka.

Menurutnya, jualan terus itu akan mengurangkan peranan orang tengah yang dikenal pasti sebagai antara punca kenaikan harga ikan sekali gus membolehkan pengguna mendapatkan ikan segar dengan harga rendah.

Sementara itu, Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata projek Forest City iaitu sebuah pembangunan perdagangan bercampur dengan melibatkan proses tambakan di Mukim Tanjung Kupang, dekat Gelang Patah tidak tertakluk kepada Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) Terperinci.

Mohamed Khaled berkata ini kerana fasa pertama pembangunan tersebut hanya melibatkan penambakan pasir seluas 49.3 hektar dan pembangunan di kawasan perairan Selat Tebrau itu tidak melibatkan Hutan Bakau Simpan Kekal Sungai Pulai.

“Projek Forest City secara keseluruhannya berkeluasan kira-kira 2,068 hektar dan dilaksanakan secara berfasa. Pemajunya adalah syarikat Country Garden Pacific View Sdn Bhd dan projek ini mendapat kelulusan pemberi milikan tanah daripada kerajaan negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor pada September lepas dengan syarat nyata adalah untuk perdagangan.

“Jabatan Alam Sekitar memaklumkan bahawa Borang Penilaian Awal Tapak telah diterima pada 13 Jan lepas dan setelah diteliti fasa pertama pembangunannya hanya melibatkan penambakan pasir seluas 49.3 hektar iaitu kurang daripada 50 hektar.

Beliau yang menjawab soalan Cheo Yee How (DAP-Pengkalan Rinting) mengenai tahap kelulusan projek tersebut berkata, bagaimanapun, bagi fasa pertama tersebut, pihak pemaju perlu menyediakan satu laporan EIA Awalan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (pindaan 2002) memandangkan antara komponen pembangunan projek itu adalah sebuah hotel yang mempunyai lebih 80 bilik. — Bernama

Advertisement