Anda di sini

Dayak Kristian diseru patuhi ajaran Bible

Advertisement

Oleh Watt Zacchaeus

TRADISI: Mauh (lima kiri), Bishop Hii (lima kanan) serta para paderi dan ahli gereja yang lain mengucapkan Selamat Hari Gawai melalui upacara ‘Ngeradak ke Ai Pengayu’.

MASYARAKAT Dayak yang beragama Kristian diingatkan untuk terus mengikuti ajaran-ajaran agama itu seperti yang termaktub dalam Kitab Suci (Bible).

Bishop Roman Katolik Sibu Right Reverend Bishop Joseph Hii berkata, terdapat banyak cabaran dalam dunia sekarang.

“Kita tidak hanya mendengar tetapi patuhi serta ikuti apa yang Tuhan mahu kita lakukan.

“Ia telah ditulis dalam Kitab Suci dan sebagai umat Kristian kita harus patuhinya,” katanya kepada jemaah semasa upacara sembahyang misa khas sempena Hari Gawai Dayak di Gereja Katolik Sacred Heart di Sibu, baru-baru ini.

Kira-kira 2,000 penganut Kristian Katolik yang berbangsa Dayak menghadiri upacara tersebut yang dianjurkan oleh Gereja Katolik Sacred Heart Bahagian Iban.

Dalam khutbahnya Bishop Hii berkata, penganut Kristian harus bersembahyang, membantu mereka yang memerlukan, menyayangi dan berbuat baik kepada satu sama lain.

“Apabila orang lain melihat sikap mulia kita, mereka akan mengikuti apa yang kita lakukan,” tambahnya.

TERIMALAH: Para hadirin menerima ‘Roti Kudus’ daripada Bishop Hii serta para paderi yang lain semasa misa khas di Gereja Katolik Sacred Heart, Sibu baru-baru ini.

Sementara itu, acara itu dimulakan dengan acara mengalu-alukan ahli-ahli gereja dengan paluan ‘taboh Iban’ (muzik tradisional Iban) sebaik mereka tiba di pekarangan gereja.

Lelaki dan wanita dari pelbagai peringkat umur dilihat memakai pakaian tradisional masing-masing sama ada Iban, Bidayuh dan Orang Ulu.

Semasa sembahyang misa itu, peralatan yang digunakan oleh kaum Dayak untuk bercucuk tanam telah dipersembahkan kepada Bishop Hii termasuk kuih chuan dan air tuak untuk diberkati.

Bishop Hii yang dibantu oleh Reverend Father John Anandan, Reverend Father Richard Lau, Reverend Father David Lau, Reverend Father Ferdinand Vergeer dan Reverend Father Thomas Connors telah memberkati barang-barang yang dibawa oleh hadirin.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin Datuk Joseph Mauh Ikeh bersama-sama dengan Bishop Hii serta para paderi yang lain kemudian membuat simbolik ucap Selamat Hari Gawai Dayak 2014 kepada masyarakat Dayak.

IKHLAS: Bishop Hii (empat kanan) menerima pemberian daripada orang ramai.

Advertisement