Anda di sini

Warga Thailand seludup ganja bernilai RM100,000 direman hingga Jumaat ini

Advertisement

GEORGE TOWN: Polis menahan reman seorang suri rumah warga Thailand sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan kes penyeludupan ganja bernilai RM100,000 yang dipercayai berpangkalan di negara jiran.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang Supt Guan Beng Kang berkata suspek yang ditahan sepasukan anggota Jabatan Imigresen ketika dalam bas ekspres di kawasan Tol Sungai Dua, Jumaat lepas itu didapati mahu menghantar ganja berkenaan ke satu lokasi di Kuala Lumpur.

“Soal siasat sedang dijalankan dan polis menghadapi kesukaran mendapatkan maklumat kerana wanita itu hanya fasih berbahasa Thai selain keputusan saringan urinnya negatif dadah,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau berkata pihaknya telah memaklumkan kepada Kedutaan Thailand mengenai penahanan wanita berusia 47 tahun itu yang disyaki dipergunakan sebagai kaldai dadah.

Guan berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung mandatori, jika sabit kesalahan.

Katanya, siasatan awal polis mendapati ganja seberat 40 kilogram yang dirampas itu dipercayai untuk pasaran tempatan. Pada jam 10.30 malam, Jumaat lepas, wanita itu dikatakan gagal mengemukakan dokumen perjalanan ketika pemeriksaan dalam sebuah bas yang sedang menuju ke Kuala Lumpur dari Changlun, Kedah.

Pemeriksaan lanjut menemui 40 paket ketulan mampat ganja berbalut plastik hitam dengan setiap satu seberat satu kg diisi ke dalam dua bagasi yang berkunci. — Bernama

Advertisement