Anda di sini

TRAGEDI BERDARAH PAGI GAWAI

Advertisement

Oleh Abang Ismail Abang Su’ud//

Mayat lelaki warga Indonesia ditemui dalam keadaan berlumuran darah pada pagi 1 Jun di Bintulu.

BINTULU: Seorang penjual ikan yang hendak pergi bekerja awal pagi 1 Jun lalu semasa menuruni anak tangga rumah sewanya terkejut apabila menemui seorang lelaki tidak bernyawa dengan banyak kesan darah di anak tangga kedua tingkat bawah sebuah bangunan tiga tingkat di Jalan Main Bazaar, pusat bandar ini.

Berikutan itu penjual ikan tersebut terus menghubungi polis untuk memaklumkan penemuan itu dan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bahagian Bintulu telah bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan siasatan.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Abdul Razak Mohammad berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam pada jam 6.27 pagi 1 Jun yang menjurus kepada penemuan mayat seorang lelaki di anak tangga kedua tingkat bawah sebuah bangunan tiga tingkat di Jalan Main Bazaar di sini.

“Siasatan awal mendapati ada dua kesan tikaman senjata tajam pada bahagian atas pusat dan di belakang lelaki yang berumur 20-an itu,” ujarnya semasa dihubungi Utusan Borneo semalam.

Katanya lelaki tersebut merupakan seorang warganegara asing namun tiada pengenalan diri dijumpai pada tubuh mangsa.

“Siasatan masih diteruskan terhadap kes itu dan seorang pekerja sebuah kapal warganegara Indonesia mengenali mangsa sebagai kawannya” jelasnya. Beliau berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kes bunuh.

Advertisement