Anda di sini

Tapak baharu Lapangan Terbang Lawas diluluskan

Advertisement

Terletak berdekatan dengan sempadan Lawas-Sabah, ia beri manfaat kepada penduduk dua negeri

LAWAS: Kerajaan negeri telah meluluskan tapak baharu Lapangan Terbang Lawas di kawasan berdekatan sempadan Lawas-Sabah yang bakal memberi manfaat kepada penduduk di daerah paling utara negeri ini dan penduduk sempadan, Sabah.

Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata lapangan terbang itu didirikan berhampiran Sabah yang bakal memuatkan sekurang-kurangnya pesawat jenis Fokker.

“Penduduk di sini amat memerlukan kemudahan pengangkutan udara baharu memandangkan lapangan terbang lama kerap dilanda banjir menyebabkan operasi penerbangan sering tertunda,” katanya pada Memorandum Persefahaman (Mou) Antara Malaysia Airport dan Pasukan Bomba Sukarela Kampung Pemukat Lawas di sini kelmarin.

Turut hadir Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agong, ADUN Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail, Pengerusi Malaysia Airports Tan Sri Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak Nor Hisham Mohammad, Pengerusi Pasukan Bomba Sukarela Kampung Pemukat Lawas Mohamad Abu Bakar dan jemputan lain.

Awang Tengah berkata lapangan terbang lama sekarang hanya menampung pesawat jenis Twin Otter menghubungkn Lawas ke Miri, Ba’Kelalan dan Kota Kinabalu.

“Jika berhadapan dengan masalah banjir, pengguna terpaksa mengambil alternatif lain melalui jalan darat menggunakan pasport ke Limbang mahupun ke Kota Kinabalu yang mengambil masa perjalanan selama tiga jam,” jelasnya.

Mengulas mengenai MoU tersebut, beliau berkata dengan adanya MoU itu aspek keselamatan di lapangan terbang dapat diberi perhatian menyeluruh.

Advertisement