Anda di sini

Skuad renang bawa pulang sembilan emas

Advertisement

KUALA PERLIS: Skuad renang Sarawak menamatkan saingan SUKMA XVII dengan meraih sembilan emas, lima perak dan tiga gangsa untuk meletakkan mereka kedudukan ketiga di belakang kontinjen Selangor dan Wilayah Persekutuan. Selangor selaku juara mengutip 11 emas, 18 perak dan 13 gangsa manakala Wilayah Persekutuan dengan 10 emas, enam perak dan sembilan gangsa.

Secara keseluruhan, pencapaian kontinjen renang Sarawak dalam acara yang berlangsung selama empat hari tetap membanggakan sekalipun gagal menyamai pungutan 10 emas, empat perak dan tujuh gangsa pada SUKMA 2012 untuk meletakkan mereka di tempat kedua.

Perenang kebangsaaan Welson Sim, Erika Kong dan Angela Chieng membawa pulang tiga emas setiap seorang manakala Vernon Lee menggondol dua emas dan dua perak. Welson turut cemerlang dengan meraih perak dalam acara 4x100m Gaya Bebas, diikuti Angela yang turut menambah satu pingat perak dan satu gangsa. Pemenang pingat lain termasuk Alex Tiong (1 emas, 1 perak, 1 gangsa), Ngui Jiung Wei (1 emas, 1 perak), Nita Wong (1 emas, 1 gangsa) dan Tan Tyng (1 emas).

Kuartet lelaki Sarawak juga berjaya mencatat rekod baharu dalam acara 4x200m Gaya Bebas dengan catatan masa 07:47.31s, memadam rekod lama milik mereka sendiri di Pahang dengan 07:50.29s.

Sekalipun gagal menyamai jumlah pungutan emas pada SUKMA lalu, Ketua Jurulatih Hii Hieng Chiong tetap berbangga dengan prestasi perenangnya pada temasya kali ini.

“Kita menetapkan sasaran tujuh pingat emas kali ini dan saya sangat gembira kerana perenang kita berjaya melepasi sasaran tersebut dengan meraih sembilan pingat emas.

“Secara keseluruhan, saya sangat berpuas hati dengan prestasi kita kali ini lebih-lebih perenang muda yang semakin menampakkan peningkatan,” katanya di sini semalam. Menurutnya, tiga perenang kebangsaan Welson, Erika dan Angela masih dapat mewakili Sarawak pada SUKMA 2016 sekali gus memberi kepercayaan skuadnya akan lebih menyinar pada temasya itu nanti.

Sementara itu, kontinjen terjun berjaya memperbaiki pencapaian pada temasya kali ini dengan menggondol dua emas, satu perak dan dua gangsa. Penerjun berusia 17 tahun, Slyvester Gaing meneruskan legasi Bryan Nickson Lomas setelah meraih dua emas dalam acara platform dan 3m terjun berirama bersama Carlyse Chan.

Carlyse turut meraih gangsa yang dimenanginya dalam acara 1m Papan Anjal. Di sebalik kejayaan Slyvester, empat penerjun muda Sarawak turut mencuri tumpuan dengan berjaya menyaingi penerjun lain yang jauh lebih tua dan berpengalaman untuk memenangi pingat.

Gandingan Enrique Maccartney (11)/Leo Ah Boon (11) berjaya memenangi gangsa dalam acara Platform Terjun Berirama Lelaki manakala Kimberly Bong Qian Ping (12)/ Tracia Irene Erik (10) menggondol perak dalam acara Platform Terjun Berirama Wanita.

Advertisement