Anda di sini

Puas mengocak air, PKL mahu gegar padang pula

Advertisement

Oleh Mastura Ismail //

BERI SOKONGAN: Hujan yang turun tidak mematahkan sokongan penduduk Kuala Lawas terhadap pasukan mereka.

SEBELUM ini Putera Kuala Lawas (PKL) lebih sinonim dengan gelaran Raja Sungai kerana pencapaian terbaik yang pernah dirangkul dalam beberapa acara regata sungai dalam dan luar negara (Brunei).

Lebih manis PKL turut mengharumkan Sarawak dan melakar nama tersendiri sebagai Raja Sungai Brunei 2014 iaitu mengulangi sejarah pada 2012 apabila muncul Raja Sungai Brunei selepas menjuarai kategori maraton bagi merebut Piala Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah.

Tidak hanya aktif dalam sukan air, PKL kini melangkah maju lagi dalam sukan bola sepak tempatan untuk mengetengahkan dan mengasah bakat generasi muda dari Kuala Lawas dalam sukan berkenaan.

Penaung PKL, Awang Damit Ali Hasan berkata, tidak semua anak buahnya pakar dalam teknik kayuhan sukan regata sebaliknya ramai pula dalam kalangan mereka mempunyai potensi dan menonjol sinarnya dalam sukan bola sepak.

NAIB JUARA: Pasukan PKL bergambar setelah tamatnya perlawanan itu.

“Penyertaan dalam Liga Lawas bagi merebut Piala Datuk Henry Sum Agung 2014 adalah satu platform untuk memberi ruang kepada generasi Kuala Lawas yang berbakat dalam sukan bola sepak menonjolkan diri,”katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Awang Damit berkata lagi, pihaknya hanya menyasarkan pasukan mereka layak ke suku akhir.

“Melangkah ke final adalah satu pencapaian yang membanggakan buat anak-anak buah.

“Turun sebagai pasukan bukan pilihan ternyata senjata berbisa untuk menumpaskan pasukan lain sehingga mampu beraksi ke final Liga Lawas walaupun sekadar berada dalam posisi naib juara baru-baru ini,” ujarnya.

Meskipun tewas, namun beliau tetap bangga dengan pencapaian terbaik yang ditunjukkan pasukannya dalam sukan bola sepak tempatan.

Menyentuh mengenai penganjuran Liga Lawas yang bermula tahun ini, beliau yakin ia merupakan medium penting untuk menggilap dan melahirkan ayam tambatan khususnya di wilayah utara negeri ini.

“Kita optimis ramai anak-anak muda kita mempunyai bakat dan potensi dalam sukan bola sepak yang perlu ditunjukkan melalui penganjuran Liga Lawas.

“Pada masa sama ianya merupakan salah satu aktiviti riadah untuk anak-anak muda selain melahirkan pemain berbakat untuk diketengahkan di peringkat lebih tinggi,” katanya lagi.

Sebelum ini Lawas berjaya melahirkan pemain bertaraf bintang seperti Ashri Chuchu yang merupakan bintang pasukan Sarawak FA dan adalah harapan muda Malaysia di sayap kiri.

Dalam pada itu Awang Damit berharap agar mutu dan kualiti padang dapat dipertingkatkan di daerah Lawas pada masa depan bagi memudahkan prasarana itu dimanfaatkan demi pembangunan sukan bola sepak tempatan.

Advertisement