Anda di sini

Polis ambil sampel gigi, cap jari untuk kenal pasti suspek

Advertisement

TUMPAS: Guan Beng Kang (kiri) menunjukkan salah sebuah beg pakaian yang digunakan untuk menyeludup ganja selepas menahan seorang wanita rakyat Thailand yang berusia 47 tahun di kawasan tol Sungai Dua, Butterworth dekat George Townpada Jumaat lepas. — Gambar Bernama

PETALING JAYA: Polis mengambil cap jari dan sebatang gigi daripada mayat suspek kes pembunuhan kanak-kanak perempuan, Siti Soffea Emelda, untuk pengesahan identiti suspek itu.

Pegawai Penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah Dang Wangi ASP Suhaimi Muhamad berkata identiti suspek sukar dikenal pasti ekoran keadaan mayatnya yang reput setelah ditemui terapung di Sungai Klang berhampiran plaza tol Sunway kira-kira 3 petang, Sabtu lepas.

“Kita telah hantar ujian cap jari serta sebatang gigi suspek ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan bahagian Rekod Jenayah Polis untuk mengetahui identitinya.

“Tempoh dua hingga tiga hari diperlukan bagi memperoleh keputusan itu,” katanya ketika ditemui pemberita di Bahagian Forensik di Pusat Perubatan Universiti Malaya di sini, semalam.

Siti Soffea Emelda, yang berusia dua tahun enam bulan, dibunuh kejam dengan kepalanya terputus dipercayai akibat dikelar di tepi Sungai Klang berhampiran Stesen Komuter Kuala Lumpur di Jalan Hishamuddin di sini pada Khamis lepas.

Saksi mendakwa melihat seorang lelaki merebahkan kanak-kanak itu di tepi sungai sebelum menghempaskan sesuatu ke kepalanya dan melakukan ‘sesuatu’ pada leher mangsa. Apabila saksi cuba menghampiri suspek, dia melarikan diri dengan terjun ke dalam Sungai Klang.

Suspek dipercayai dibebaskan dari Penjara Kajang pada 26 Mei lepas setelah menjalani hukuman penjara dua tahun atas kesalahan samun. Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Gan Kong Meng berkata polis telah mengambil keterangan 10 saksi berhubung kes pembunuhan Siti Soffea Emelda.

Antara 10 saksi itu ialah ibu kanak-kanak perempuan itu, katanya dalam kenyataan media semalam. “Setakat ini, polis belum mengenal pasti motif sebenar pembunuhan itu berlaku,” katanya.

Polis juga mengesahkan mayat lelaki yang ditemui terapung di Sungai Klang berhampiran plaza tol Sunway Sabtu lepas mempunyai kaitan dengan pembunuhan kanak-kanak perempuan itu berdasarkan pakaian suspek.

Polis turut menemui bungkusan plastik kecil yang mengandungi ganja di dalam pakaian suspek.

Bedah siasat terhadap mayat Siti Soffea Emelda mendapati adanya kecederaan parah akibat hentakan di bahagian kepala dan punca kematiannya adalah selari dengan keterangan saksi-saksi yang melihat kejadian itu berlaku. — Bernama

Advertisement