Anda di sini

Perpustakaan digital Tasek Gelugor rapatkan jurang masyarakat

Advertisement

TASEK GELUGOR: Bagi terus menggalakkan dan memupuk minat membaca dalam kalangan masyarakat, Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang (PPAPP) menubuhkan Perpustakaan Digital Tasek Gelugor.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pemantauan) Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Dr Junaida Lee Abdullah berkata perpustakaan itu menyediakan sebanyak mungkin peluang kepada penduduk luar bandar sekaligus merapatkan jurang digital antara masyarakat bandar dan luar bandar.

Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan melalui Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) mengorak langkah untuk meningkatkan perkhidmatan Perpustakaan Digital Tasek Gelugor dengan peruntukan daripada kerajaan Persekutuan, katanya ketika pada perasmian Perpustakaan Digital Tasek Gelugor di sini, semalam.

Perasmian perpustakaan itu disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas.

Junaida berkata sehingga kini, Pulau Pinang mempunyai sebuah perpustakaan negeri, enam perpustakaan cawangan, dua perpustakaan pekan, tiga perpustakaan komuniti di pusat beli belah, 81 perpustakaan desa dan 12 perpustakaan bergerak.

Beliau berkata kerajaan Persekutuan memperuntuk RM23.9 juta bagi pembangunan perpustakaan di negeri ini sejak Rancangan Malaysia Keenam sehingga kini. “Bagi Perpustakaan Digital Tasek Gelugor khususnya peruntukan pembangunan yang disediakan berjumlah RM1.5 juta.

Peruntukan ini temasuk pengisian koleksi, kelengkapan perabot dan kelengkapan ICT,” katanya. — Bernama

Advertisement