Anda di sini

Perak catat tangkapan tertinggi kes dadah

Advertisement

IPOH: Perak negeri tertinggi mencatatkan tangkapan pelbagai kesalahan berkaitan dadah dengan sejumlah 5,179 tangkapan bagi tempoh Januari hingga Mei, kata Timbalan Ketua Polis Perak Datuk A.

Paramasivam. Beliau berkata ia menunjukkan peningkatan sebanyak 1,136 tangkapan berbanding tempoh sama tahun lepas.

Daripada jumlah itu, katanya, seramai 836 merupakan pengedar yang telah dikenakan tindakan mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 bagi tempoh tersebut, berbanding 531 orang tempoh sama tahun lepas. Beliau berkata demikian pada majlis serah terima tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perak, antara pemangku jawatan itu Superitenden Mohd Nasri Omar dengan ACP Yap Toon Khuan.

Yap yang sebelum ini menjawat jawatan sama di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang memulakan tugasannya semalma bagi menggantikan Mohd Nasri.

Paramasivam berkata daripada 5,179 tangkapan itu, 4,267 penagih telah dikenakan tindakan mengikut ADB 1952 dan 76 orang dikenakan tindakan mengikut Langkah-langkah Pencegahan Khas.

Sementara itu, Yap ketika ditemui pemberita berkata dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini juga, polis merampas sejumlah 218,227 gram pelbagai jenis dadah dan 1,637 biji pelbagai jenis pil khayal. Bagi harta benda pengedar dadah yang disita, Yap berkata sejumlah RM1.2 juta harta berjaya disita bagi tempoh itu.

Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Perak akan terus meningkatkan operasi di pusat-pusat hiburan, tempat pengedaran dadah, hotel, rumah tumpangan serta pusat snooker di negeri ini, katanya. — Bernama

Advertisement