Anda di sini

Penduduk Baram dapat jalan raya lebih baik

Advertisement

WIRA ORANG ULU: Najib ketika diarak di dalam perahu berukir tradisional orang Kenyah untuk ke
pentas utama ketika ketibaannya di Long Silat semalam.

Najib umum projek menaik taraf jalan balak dengan peruntukan RM300 juta daripada kerajaan persekutuan

BARAM: Kira-kira 70,000 penduduk pedalaman Baram bakal menikmati akses serta perhubungan jalan raya lebih baik melalui projek menaik taraf jalan balak dengan peruntukan berjumlah RM300 juta daripada kerajaan persekutuan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan tidak pernah gerun untuk membelanjakan amaun besar sama ada terhadap projek yang telah dilaksanakan atau sedang dalam perancangan demi kemudahan dan kesenangan rakyat.

“Daripada jumlah keseluruhan peruntukan itu, sejumlah RM64 juta digunakan pada tahun ini manakala selebihnya digunakan pada tahun depan dan 2016,” katanya di hadapan sekitar 3,000 hadirin pada lawatan sempena Gawai Dayak ke Long Silat, di sini semalam.

Beliau yang melawat Baram buat kali ketiganya kali ini meminta Orang Ulu terus setia dan meletakkan keper-cayaan sepenuhnya kepada kerajaan bagi membolehkan setiap agenda pembangunan yang dirancang tetap dinikmati oleh masyarakat itu.

Pada masa sama, Najib memberitahu Orang Ulu juga akan menikmati manfaat daripada pelaksanaan Cukai Perkhidmatan dan Barangan (GST) yang dijadualkan tahun depan.

“Saya jamin penduduk yang tinggal di pedalaman terutama Orang Ulu bahawa segala barang keperluan asas akan dikecualikan daripada GST,” katanya.

Beliau turut berjanji jika kerajaan mendapat lebih banyak pendapatan melaluinya maka akan lebih banyak peruntukan disalurkan untuk pembangunan seperti menaik taraf jalan balak, membina lebih banyak sekolah, hospital dan klinik.

Untuk projek empangan hidro mini pula, beliau meluluskan peruntukan sebanyak RM26.6 juta untuk dibina di perkampungan sekitar Long Banga di Bario. Ini berikutan permintaan Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang yang memohon peruntukan berkenaan kerana hanya 23 peratus daripada 250 kilowatt hidro mini yang dibina di Long Banga digunakan oleh komuniti di situ.

“Disebabkan ada baki 77 peratus tenaga daripada empangan hidro mini yang belum digunakan, beliau (Jabu) mahu kerajaan (persekutuan) memberi sejumlah RM26.6 juta lagi supaya perkampungan sekitar Long Banga dapat disambungkan dengan bekalan elektrik,” ujar Najib.

Pada lawatan itu, Najib berkata walaupun masyarakat Orang Ulu tidak menyambut Gawai Dayak namun berbangga dengan usaha pemimpin peringkat kabinet negeri dan pemimpin masyarakat tempatan menyatukan segenap lapisan masyarakat dalam suasana penuh kesederhanaan. “Melalui perayaan seperti ini, kita dapat mengenali satu sama lain dan melaluinya kita dapat hidup dalam suasana aman dan harmoni,” katanya.

Najib turut mendapat gelaran tertinggi masyarakat Orang Ulu (Kenyah) iaitu ‘Balan Nyanding’ yang membawa maksud ‘Pahlawan Terbilang Orang Ulu’.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Awang Tengah Ali Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Joseph Entulu Belaun, Ahli Dewan Negara Senator Lihan Jok, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datu Ose Murang, Ahli Parlimen Baram Anyi Ngau, Ahli Dewan Undangan Negeri Telang Usan Dennis Ngau Jok dan Ketua Masyarakat Kenyah Temenggung Joseph Ngau Lian dan kenamaan lain.

Advertisement