Anda di sini

Orang ramai dialu-alukan sertai Go Bald@Damai 2014

Advertisement

KUCHING: Orang ramai dialu-alukan menyertai kempen amal Go Bald@Damai 2014 yang diadakan di Damai Beach Resort (DBR) pada 7 Jun ini. Kempen tersebut bertujuan mengumpul dana untuk kanak kanak yang menghidap kanser.

Acara tersebut dianjur bersama oleh DBR dan Persatuan Pesakit Kanser Kanak-Kanak Sarawak (SCCS) selain turut disokong Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Damai Golf & Country Club (DGCC) serta Kampung Budaya Sarawak.

Pengumuman itu dibuat oleh Pengurus Besar DBR Zulkifli Othman pada sidang media yang diadakan di pusat beli-belah Sarawak Plaza baru-baru ini.

Selain itu, menurutnya kira-kira 100 kakitangan pusat peranginan bersama-sama tetamu mereka dijangka akan menyertai kempen amal tahunan itu.

“Acara ini diadakan untuk tahun kedua berturut-turut di bawah inisiatif tanggungjawab korporat sosial (CSR) kami dan ia dianjurkan bersama dengan SCCS dengan sokongan padu daripada SEDC serta rakan-rakan sekerja kami,” katanya.

Turut hadir pada sidang akhbar itu ialah Pengurus SCCS Jodie Sim dan Timbalan Pengurus SCCS Jacqueline Chin.

“Kami berharap dapat mengutip dana yang lebih banyak berbanding tahun lepas selain menyasarkan peningkatan kepada RM22,000 melalui kutipan kad derma yang kini sedang giat dijalankan oleh kakitangan kami,” katanya.

Menurut beliau, pada tahun lalu seramai 66 kakitangan DBR termasuk pengunjung pusat peranginan itu mengambil bahagian dan jumlah derma yang berjaya dikutip adalah RM20,000.

“Kami cukup berbangga dengan penyertaan kakitangan kami demi mengumpul dana yang disifatkan sedikit sebanyak dapat membantu kanak-kanak yang menghidap penyakit kanser,” katanya.

Beliau memberi jaminan bahawa pihak DBR akan terus menyokong kempen amal yang dijalankan oleh SCCS kerana ia akan menggalakkan masyarakat dari seluruh negeri berkongsi peranan dalam mengurangkan beban mereka yang kurang bernasib baik terutama kanak-kanak pesakit kanser.

Dalam perkembangan lain, SCCS setakat ini mengutip derma sebanyak RM560,000 melalui kempen amal yang telah diadakan di Kuching, Sibu dan Miri yang melibatkan penyertaan seramai 1,035 orang dalam kempen mencukur rambut mereka termasuk 115 wanita.

SCCS juga melahirkan hasrat untuk mengutip RM1.5 juta melalui acara tahunan Go Bald bagi membiayai projek-projeknya termasuk menyediakan makanan serta kemudahan penginapan di pusat kanser untuk pesakit yang mendapatkan rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS).

Dana yang dikumpul itu juga akan membantu dalam rancangan SCCS menubuhkan sebuah rumah transit di Kuching bagi menampung keperluan pesakit yang datang dari luar yang ditemani keluarga.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menderma terus kepada SCCS dengan mengumpul dana melalui kutipan kad derma Go Bald dan mereka yang berminat boleh melawati laman sesawang di alamat: www.gobald.my untuk maklumat lanjut.

Bagi mereka yang berminat untuk menyertai ‘Go Bald@Damai 2014’, mereka boleh pergi ke DBR pada 7 Jun dan membuat sumbangan minimum RM50 untuk mencukur rambut.

Maklumat lanjut juga boleh didapati di laman web pusat peranginan itu di alamat: damaibeachresort.com.my atau laman sosial Facebook.

Advertisement