Anda di sini

Najib melakukan kunjungan hormat terhadap Taib sempena lawatan ke Sarawak

Advertisement

KUNJUNGAN HORMAT: Najib berbual dengan Taib (kanan) di Hotel Marriot Resort and Spa, Miri sempena lawatannya ke Sarawak malam kelmarin.

MIRI: Datuk Seri Najib Tun Razak memulakan lawatan dua hari ke Sarawak dengan melakukan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, di sini malam kelmarin.

Ini merupakan kunjungan hormat pertama Perdana Menteri sejak Taib dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak ketujuh pada 1 Mac lalu.

Najib tiba di Hotel Marriot Resort and Spa di sini jam 8 malam kelmarin diiringi Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem, Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg.

Hadir sama isteri Yang di- Pertua Negeri Toh Puan Ragad Kurdi Taib, isteri Ketua Menteri Puan Sri Datuk Jamilah Anu, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohd Morshidi Abdul Ghani dan kenamaan lain.

Pemimpin nombor satu negara itu tiba di Lapangan Terbang Miri sekitar jam 3.40 petang kelmarin selepas melakukan lawatan diplomatik di China.

Lawatan Najib adalah sempena Sambutan Perayaan Hari Gawai Dayak Peringkat Kebangsaan di sini malam kelmarin.

Pagi semalam, Perdana Menteri memulakan lawatan Hari Gawai bersama masyarakat Kenyah di Long Silat, sebelum menghadiri satu lagi perayaan Gawai di Rumah Jarek Klambu, di Lambir.

Najib dijadual berlepas pulang ke Kuala Lumpur selepas menghadiri Rumah Terbuka Gawai Dayak Malaysia 2014 di Dataran Kipas iaitu acara kemuncak lawatan dua hari beliau di Sarawak malam tadi

Advertisement