Anda di sini

Menikmati makanan segera trend tidak sihat

Advertisement

Ia boleh menjejaskan kesihatan sehingga menyebabkan obesiti kepada penggemarnya

KUCHING: Menikmati juadah makanan segera merupakan trend semasa golongan muda biarpun hakikatnya tabiat itu boleh menjejaskan kesihatan sehingga menyebabkan obesiti kepada penggemarnya.

Kebanyakan golongan muda biasanya menikmati juadah di restoran segera sekurang-kurangnya sekali seminggu dan waktu paling digemari menikmati makanan segera ialah pagi.

Tinjauan Utusan Borneo di bandar raya ini semalam mendapati kebanyakan golongan muda yang menggemari makanan di restoran makanan segera kerana sedap, cepat dan mudah didapati.

Seorang peniaga Khairuddin Wong,20, berkata, juadah yang disediakan di restoran makanan segera adalah ringkas dan sedap. “Saya suka menikmati makanan yang ringkas seperti ayam goreng dan burger,” katanya.

Bagaimanapun menurutnya, juadah di restoran makanan segera hanya dinikmati sebulan sekali. “Saya bukannya penggemar tegar makanan segera kerana menyedari banyak kesan terutama dari segi kesihatan,” ujarnya.

Bagi Azri Mohd,36, kebanjiran anak muda melepak dan menikmati juadah makanan segera lebih kepada trend semasa.

“Kita boleh lihat ramai anak muda meminati makanan segera namun sebenarnya ia (makanan segera) kurang khasiat,” jelasnya.

Sementara itu, Shahrul Azlan, 24, pula kurang berminat dengan makanan di restoran makanan segera kerana menjejaskan kesihatan.

“Saya memang tidak minat dengan makanan segera walaupun menikmatinya merupakan trend anak muda ketika ini,” kata Shahrul.

Wan Bosri Wan Mohd Zin,50, turut sependapat dengan Shahrul, juadah di restoran makanan segera boleh menjejaskan kesihatan.

“Saya tidak menggalakkan anak-anak menikmati juadah makanan segera.

“Ini kerana kebanyakan makanan yang digunakan agak berminyak dan mengandungi garam yang banyak sekali gus boleh menjejaskan kesihatan,” ujarnya.

Advertisement