Anda di sini

K’jaan terus berusaha jadikan S’wak destinasi pelancongan sukan belia

Advertisement

KUCHING: Kerajaan negeri melalui Kementerian Pembangunan Sosial (KPS) akan terus berusaha menjadikan Sarawak sebagai sebuah destinasi pelancongan sukan belia, kata Menterinya Tan Sri William Mawan Ikom.

Menurutnya, pada masa sama kerajaan juga ingin melihat pembabitan aktif belia dalam acara sukan kerana ia dapat mempromosi gaya hidup sihat dalam diri generasi muda hari ini.

“Dengan ini, kerajaan memuji usaha berani Yoblitz Team Sarawak bersama Kelab Rekreasi dan Sukan Pending 1BFF dalam menganjurkan Pertandingan Yoyo Antarabangsa di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya yang disampaikan oleh wakilnya Aishah Edris semasa merasmikan Sarawak Regional Yoyo Contest 2014 sempena ‘YOU ARE THE 1 – Youth Carnival Event 2014’ di Plaza Merdeka di sini, malam kelmarin.

Menurut Mawan, kementeriannya juga komited menyokong setiap acara yang dapat menyediakan peluang kepada belia untuk terlibat secara aktif dalam aktiviti sukan.

“Kita juga berbangga dapat memberi sokongan dan komitmen dalam penganjuran lebih banyak aktiviti yang mana pada tahun ini sahaja banyak acara telah dirancang untuk belia oleh Kelab Rekreasi dan Sukan Pending 1BFF.

“Kementerian juga tidak sabar untuk melihat kejayaan penganjuran karnival belia iaitu I.M.A.G.I.N.E Retrowalk yang akan berlangsung pada bulan Oktober akan datang.

“Kita juga tidak sabar menyaksikan kehebatannya kerana dijangka beribu belia akan menyertai acara ini nanti,” jelasnya. Sementara itu, Pengerusi Pertandingan Yoyo Wilayah Sarawak Ryan Chung berkata, pertandingan kali kelima dianjurkan itu pada mulanya diperkenalkan pada 2010.

“Diharapkan pada masa akan datang yoyo dapat menjadi sukan sepenuhnya dan termasuk dalam Sukan Malaysia (SUKMA) dan berharap kerajaan Sarawak dapat memasukkannya ke dalam salah satu acara SUKMA Sarawak pada 2015,” jelasnya.

Antara peserta yang terlibat ialah dari Terengganu, Sabah, Pulau Pinang, Selangor dan Indonesia.

Turut hadir menjadi juri ialah Juara Yoyo Dunia Marcus Koh dari Singapura dan Juara Yoyo Malaysia Mohd Shakeel dari Selangor. Hadir sama pengerusi penganjur YOU ARE THE 1 – Youth Carnival Event 2014 Cilla Balla.

Advertisement