Anda di sini

Kes saman Raja Nong Chik terhadap Nurul Izzah di hadapan hakim baharu

Advertisement

KUALA LUMPUR: Mediasi membabitkan kes saman bekas Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin terhadap anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar akan didengar di hadapan hakim baharu.

Saman itu berhubung kenyataan fitnah yang didakwa dikeluarkan Nurul Izzah mengenai pembelian tanah di Bukit Kiara.

Aston Paiva, yang mewakili Nurul Izzah ketika ditemui pemberita berkata mediasi itu ditetapkan pada 26 Jun ini di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Nik Hasmat Nik Mohamed ketika kes itu disebut di dalam kamarnya semalam.

Pada 5 Feb lalu, kes saman antara Raja Nong Chik, Nurul Izzah dan Malaysiakini gagal diselesaikan secara baik melalui proses mediasi di hadapan Hakim Zainal L. Salleh di Pusat Mediasi, Mahkamah Kuala Lumpur di sini selepas kesemua pihak tidak bersetuju dengan terma penyelesaian.

Pada 17 Julai tahun lepas, Raja Nong Chik memfailkan saman itu terhadap Nurul Izzah, Mkini Dotcom Sdn Bhd, pemilik portal berita Malaysiakini dan wartawan Malaysiakini Lu Wei Hoong.

Dalam pernyataan tuntutannya, Raja Nong Chik mendakwa Nurul Izzah mengeluarkan kenyataan fitnah dan palsu berhubung pembelian tanah itu dalam sidang akhbar di Bangunan Bakti, Taman Tun Dr Ismail di sini, iaitu sehari sebelum hari pengundian Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Raja Nong Chik mendakwa kenyataan Nurul Izzah itu telah diterbitkan dalam laman web Malaysiakini pada hari sama iaitu 4 Mei tahun lepas.

Beliau memohon perintah injunksi supaya semua defendan sama ada melalui diri mereka atau ejen-ejen mereka dihalang daripada mengeluarkan atau menerbitkan perkataan sama yang menfitnah dirinya.

Beliau juga memohon ganti rugi am, teruk, teladan, satu perintah supaya defendan menerbitkan permohonan maaf, faedah, kos dan lain-lain relif yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Menurutnya akibat penerbitan kenyataan itu, reputasi dan maruahnya sebagai ahli politik, bekas menteri dan senator yang dihormati di negara ini telah terjejas teruk. Pada PRU13 5 Mei tahun lepas, Nurul Izzah menewaskan Raja Nong Chik untuk kerusi Parlimen Lembah Pantai dengan majoriti 1,847 undi. — Bernama

Advertisement