Anda di sini

Jenice Lee dibenar pinda pernyataan tuntutan saman

Advertisement

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi semalam membenarkan permohonan bekas anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai Jenice Lee Ying Ha untuk meminda pernyataan tuntutannya dalam saman terhadap pemangku Pengerusi Kebangsaan DAP Tan Kok Wai atas dakwaan menfitnahnya termasuk tuduhan penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan.

Pesuruhjaya Kehakiman Vazeer Alam Mydin Meera membuat keputusan itu di dalam kamar selepas bertemu peguam Michael Wong yang mewakili Lee selaku plaintif dan peguam Eric Tan yang mewakili Tan selaku defendan.

Wong ketika ditemui berkata mahkamah membenarkan permohonan Lee dan menetapkan 4 Julai depan untuk pengurusan kes.

Wong memberitahu bahawa mahkamah turut menetapkan 30 Sept depan untuk perbicaraan kes itu.

Pada 12 Nov tahun lepas, Lee memfailkan saman itu kerana mendakwa pada 23 April 2013, iaitu pada hari ketiga kempen Pilihan Raya Umum Ke-13, Tan mengadakan sidang akhbar di Taman Muda, DUN Teratai, yang dihadiri media serta penduduk di kawasan itu, dan mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya.

Beliau berkata kenyataan itu termasuk tuduhan salah laku plaintif semasa menjadi ADUN Teratai termasuk melakukan penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dan rasuah.

Lee mendakwa kenyataan yang dikeluarkan Tan itu diterbitkan dalam akhbar bahasa Cina dan beberapa laman dalam Internet.

Beliau berkata kenyataan itu telah menghancurkan kedudukan, kewibawaan, integriti dan reputasinya secara peribadi dan dalam arena politik.

Beliau memohon ganti rugi am, teruk, teladan, kos dan suatu perintah injunksi bagi menghalang defendan secara peribadi atau melalui ejen-ejennya daripada terus mengulangi kenyataan fitnah itu. — Bernama

Advertisement