Anda di sini

Jangan kompromi soal keselamatan kanak-kanak

Advertisement

Ibu bapa harus melipatgandakan kawalan dan keselamatan, berfikir melebihi imaginasi kanak-kanak

KUALA LUMPUR: Soal keselamatan kanak-kanak kini seolah-olah menjadi isu sekunder bagi ibu bapa berbanding soal kecemerlangan pendidikan, tingkah laku dan kemahiran sosial, kata pakar.

Walhal kata Presiden Lembaga Kaunselor Malaysia Prof Madya Dr Mohamed Fadzil Che Din, era moden kini menuntut ibu bapa dan penjaga agar memberi lebih tumpuan dalam soal keselamatan kanak-kanak.

Ibu bapa perlu sedar, kanak-kanak dewasa ini membesar dalam persekitaran moden yang menjadikan mereka aktif, lincah disertai imaginasi dan fantasi yang meluas, namun ini mendedahkan mereka kepada risiko bahaya yang lebih tinggi, katanya kepada Bernama, di sini semalam.

“Ia (isu keselamatan) hanya akan timbul apabila ada insiden tidak diingini yang meragut nyawa kanak-kanak. Ketika ini, semuanya sudah terlambat,” katanya.

Sambil mengakui tidak wajar menyekat daya imaginasi kanak-kanak yang sedang membesar, Mohamed Fadzil berkata apa yang boleh dilakukan oleh ibu bapa ialah melipatgandakan kawalan dan keselamatan selain berfikir melebihi imaginasi kanak-kanak.

Merujuk kepada kejadian dua kanak-kanak yang masing- masing mati dibunuh dan jatuh dari aras tiga sebuah pusat beli-belah minggu lepas, beliau berkata insiden itu menunjukkan betapa pentingnya ibu bapa tidak leka dalam mengawal keselamatan anak-anak, terutama dalam kelompok usia enam hingga 10 tahun.

Pada peringkat usia ini mereka lebih aktif, suka berimaginasi tanpa memikirkan akibat daripada perbuatan mereka, katanya.

Beliau juga berkata ibu bapa perlu mengikis persepsi Malaysiabahawa tempat awam yang cantik dan dikunjungi ramai orang adalah tempat yang sesuai dan selamat untuk kanak-kanak.

“Selain itu ‘trend’ gajet sosial juga perlu diberi perhatian, apabila ibu bapa dilihat ‘sibuk’ dengan telefon bimbit, iPad, sehingga leka dan hilang fokus untuk mengawal anak-anak yang dibawa bersama,” katanya. Sementara itu,

Pengerusi Yayasan Kebajikan Negara Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata langkah keselamatan kanak-kanak kini jauh berbeza berbanding dahulu kerana mereka tidak hanya terperuk di rumah sebaliknya dibawa ibu bapa ke pelbagai destinasi.

“Kalau dahulu keselamatan kanak-kanak berkisar di rumah, sekolah dan kawasan berhampiran, di bandar juga jarang-jarang, tetapi zaman kini kanak-kanak dibawa ke merata-merata tempat, dan seharusnya keselamatan menjadi faktor utama perlu dititikberatkan,” katanya.

Beliau berkata pengendali yang menguruskan tempat awam seperti pusat beli-belah, taman tema dan sebagainya juga perlu menjadikan kanak-kanak sebagai satu keutamaan dalam menyediakan persekitaran dan infrastruktur yang mesra kanak-kanak.

“Isu keselamatan kanak-kanak terutama nyawa mereka perlu diberi perhatian serius kerana ia tiada galang gantinya, selain merupakan pewaris untuk memastikan kesinambungan negara di masa hadapan,” katanya. — Bernama

Advertisement