Anda di sini

Halal, haram: Jangan terburu-buru buat keputusan

Advertisement

Keputusan tanpa merujuk agensi bertanggungjawab boleh timbulkan keraguan umat Islam

KUCHING: Dua produk Cadbury disahkan bebas daripada DNA babi oleh JAKIM sepatutnya menjadi iktibar kepada setiap masyarakat supaya tidak membuat sebarang keputusan secara terburu-buru berhubung isu halal dan haram.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman berkata, membuat sebarang keputusan tanpa merujuk agensi bertanggungjawab boleh menimbulkan keraguan umat Islam. Menurutnya, sepatutnya sebarang keputusan yang dibuat terutama membabitkan DNA babi perlu melalui penyelidikan yang dijalankan Jabatan Kimia.

“Sekarang dua produk ini (Cadbury) halal dan jangan ada sebarang keraguan atau rasa waswas di kalangan umat Islam. “Oleh itu, masyarakat perlu belajar daripada perkara ini agar tidak membuat sebarang keputusan berhubung isu halal dan haram tanpa merujuk agensi bertanggungjawab,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dua produk Cadbury yang dilaporkan mengandungi DNA babi, disahkan bebas daripada unsur haram itu berdasarkan analisis Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dipetik sebagai berkata, kedua-dua sampel produk coklat dengan kacang hazel dan coklat susu dengan buah badam diambil dari kilang pengeluaran produk tersebut di Shah Alam.

Daud menjelaskan, umat Islam idak perlu berasa ragu-ragu lagi kerana dua produk itu halal dan boleh dimakan.

“Sekarang tiada masalah lagi, JAKIM sudah membuat analisis dan dua produk ini bebas DNA babi,” ujarnya. Sementara itu, Asharday Effiral Abdul Rahim,28, berkata sepatutnya analisis dibuat terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan mengharamkan produk makanan dibuat.

“Kita sedia maklum, coklat merupakan kegemaran setiap masyarakat khasnya kanak-kanak.

“Agar sukar untuk menghalang kanak-kanak untuk menikmati makanan yang mereka gemari,” jelasnya.

Malah menurutnya, keputusan analisis yang menyaksikan dua produk tersebut bebas daripada DNA babi sudah pasti melegakan banyak pihak. Awang Shah Fareed,22, turut sependapat dengan Asharday.

Katanya agensi bertanggungjawab sepatutnya menjalankan analisis terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan mengenai pengharaman sesuatu produk makanan.

“Kenapa perkara seperti ini boleh berlaku. Ini kerana ia boleh menimbulkan keraguan di kalangan umat Islam,” kata Awang.

Advertisement