Anda di sini

Adenan, isteri lawat Pameran Foto Lama di Sibu

Advertisement

SIBU: Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem diberikan penerangan tentang kira-kira 1,000 keping foto lama yang memaparkan sejarah bandar ini semasa mengunjungi pameran itu di Kompleks Islam Sibu kelmarin.

Beliau memberi reaksi selepas penerangan tersebutdan berkata foto-foto itu sangat penting dan bermakna supaya generasi muda tidak mengambil mudah mengenainya.

“Ini adalah sebahagian daripada sejarah kita dan sebahagian sejarah Sibu. “Saya berharap generasi muda akan sedar apa yang dilalui oleh ibu bapa dan moyang mereka pada suatu ketika dahulu,” katanya ketika ditemui selepas melawat galeri Pameran Foto Lama di sini kelmarin.

Katanya foto-foto tersebut benar-benar membawa beliau mengimbau kembali kenangan lama di Sibu.

“Saya boleh melihat beberapa muka lama, tetapi malangnya dan sungguh menyedihkan kerana ramai yang telah pergi,” katanya. Mengambil contoh latar belakang Sibu, ini adalah kali pertama beliau mengunjungi pameran sedemikian terutama berkaitan dengan masyarakat Melayu.

Di fahamkan, Adenan melakukan lawatan mengejut ke pameran tersebut yang ditempatkan di kompleks berkenaan di Jalan Awang Ramli Amit di sini.

Adenan difahamkan sangat menggemari gambar-gambar lama. Semasa kunjungan tersebut, Adenan meluangkan masanya kira-kira setengah jam melihat gambar-gambar lama.

Beliau diiringi oleh isterinya, Puan Sri Datuk Jamilah Anu, ADUN Nangka Dr Annuar Rapa’ee dan Temenggung Datuk Wan Hamid Edruce.

Pameran yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Sibu Warisan Melayu/Melanau itu dirasmikan oleh Wan Hamid. Sementara itu, Dr Annuar yang juga pengerusi jawatankuasa berkata mereka amat berbesar hati dengan lawatan Adenan itu.

Advertisement