Anda di sini

Tinju: Lawrence sumbang gangsa

Advertisement

PERLIS: Lawrence Kellan menghadiahkan gangsa buat kontinjen Sarawak dalam acara tinju setelah tewas dalam saingan separuh akhir di Arena Futsal Kompleks Sukan Negeri Kangar, di sini semalam.

Petinju berusia 20 tahun itu tewas di tangan Mohd Hafizuddin Hakim Mohd Zahari dari Terengganu dengan kiraan mata 3-0 (27-30, 26-30, 27-30) dalam pertarungan kategori 46-49kg.

Begitupun, peluang Sarawak untuk menggondol emas kembali terbuka apabila Mohamad Aisamuddin Mohamad mara ke final setelah berjaya mengatasi Nur Aidi Nazrin Aliyah dari Perak dalam kategori 56kg.

Aisamuddin menang dengan kiraan mata 2-1 (29-28, 28-28, 29-28) dan akan turun dalam perlawanan akhir pada 3 Jun depan.

Seorang lagi petinju Sarawak Gary Macquim Johan Iss akan turun hari ini dalam kategori 60kg.

Sementara itu, skuad hoki wanita Sarawak menyertai skuad lelaki terkeluar daripada saingan acara berkenaan pada SUKMA XVII yang telah memasuki hari kelapan di sini.

Sekalipun mencatat kemenangan 3-0 ke atas Sabah pada perlawanan terakhir Kumpulan B, Sarawak akur tersingkir apabila dibezakan dengan hanya satu mata dengan Johor.

Mereka mencatat dua kemenangan, dua seri dan sekali tewas untuk mengutip lapan mata.

Johor layak ke separuh akhir dengan mengutip sembilan mata.

Ketua Jurulatihnya, Siva Subramaniam kecewa setelah skuadnya sekali lagi gagal melayakkan diri ke pusingan seterusnya.

“Saya tetap berpuas hati dengan pencapaian pemain pada SUKMA kali ini berbanding pada edisi lepas.

“Mereka menunjukkan peningkatan jika mengambil kira keputusan yang kita perolehi dari lima perlawanan,” katanya semalam.

Malah, Siva optimis barisan pemain sama mampu bangkit pada temasya 2016 di Sarawak kerana sebahagian besar mereka masih dapat dikekalkan.

Advertisement