Anda di sini

Selepas 20 tahun baharu mahir hasilkan kuih dam

Advertisement

Oleh Henrietta Liza //

HASIL AKHIR: Kuih tradisional kaum Dayak ‘Bidayuh’, kuih dam menjadi kemestian sewaktu perayaan Gawai.

SETELAH hampir 20 tahun mencuba sehingga pernah menangis akibat terlalu kecewa tidak dapat memenuhi kehendak bapa yang mahukan kuih redam atau dam, Miah Aheng akhirnya puas hati kerana ia menjadi.

Miah yang kini sudah mencecah umur 56 tahun sudah mahir membuat kuih dam sejak empat tahun yang lepas.

“Teringat saya ketika itu, ibu meninggal pada tahun 1996. Oleh kerana mendiang ibu selalu membuat kuih itu untuk bapa, empat tahun kemudian bapa meminta saya membuatnya.

“Saya tidak pernah mencuba secara praktikal tetapi pernah melihat mendiang nenek dan ibu membuatnya sewaktu masih lagi bujang,” katanya menceritakan detik paling menyedihkan dalam hidupnya itu.

Miah pada mulanya beranggapan kuih itu senang untuk dihasilkan tetapi setelah mencuba banyak kali baharulah dia mendapat ramuan yang membuatkan resepi kuih damnya itu diminati oleh penduduk sekitar.

Beliau yang berasal dari Kampung Bawang di Kuching memberitahu, kuih itu juga merupakan kuih mesti yang perlu dihidang kepada tetamu sewaktu hari perayaan dan makanan perlu untuk roh moyang pada hari pembukaan Gawai.

PERLUKAN KESABARAN: Miah menggaul adunan tepung beras yang telah dicampur dengan gula apong dan sedikit tepung gandum.

“Bangsa Bidayuh mempunyai tiga sambutan sebelum Hari Gawai sebenar diraikan iaitu Gawai ‘Sepak Padi’ (apabila padi mula ditumbuk) dan Gawai ‘Spaan’ membawa ke kampung baharulah Gawai ‘Baas’ (hari keramaian Gawai, 1 Jun) disambut.

“Akan tetapi kuih dam yang dihidang bergantung kepada ‘Ketua Rami’ yang memanggil roh moyang untuk melaksanakan pesta pembukaan sambutan Gawai yang akan dihidang sama ada empat atau tujuh,” katanya menambah.

Katanya, beliau sendiri menggunakan ramuan tradisional membuat kuih dam yakni dengan menumbuk beras yang telah direndam semalaman sehingga lumat di dalam lesung kayu, diayak untuk digaulkan bersama sedikit tepung gandum dan gula apong terpilih dan digoreng.

Katanya, beras padi bukit merupakan ramuan terbaik untuk membuat kuih dam agar aromanya keluar.

Bagi mereka yang belum mencuba katanya, ia nampak senang tetapi susah untuk dibuat dan tidak ramai golongan muda yang mahu belajar membuat kuih itu.

Beliau juga mengambil tempahan daripada orang ramai ketika perayaan dan boleh dihubungi di talian 017-8075943.

Advertisement