Anda di sini

Pengusaha teksi ‘hilang topik’ promosi bandar raya Miri

Advertisement

MIRI: Petugas barisan depan industri pelancongan, pengusaha teksi di sini dikatakan ‘hilang topik’ untuk mempromosikan Bandaraya Miri semasa mereka membawa pelancong asing.

Salah seorang pengusaha teksi, Goh Ah Foo berkata ia satu cabaran untuk mempromosi Miri kerana mereka adalah orang yang pertama bertemu pelancong asing yang tiba di sini.

“Apabila pelancong datang ke Miri, mereka hanya fokus untuk pergi ke satu tempat sahaja seperti Tapak Warisan Dunia iaitu Taman Negara Mulu atau Taman Negara Niah,” katanya di sini semalam.

Menurutnya, tidak semua pelancong asing yang mahu melawat Muzium Petroleum atau Taman Buaya Miri, sebaliknya mereka hanya berminat pergi ke tempat tertentu sahaja.

“Kita hanya mampu menawarkan mereka untuk melawat kawasan Taman Negara Lambir atau Taman Negara Niah serta Borneo Tropical Rainforest Resort berbanding tempat-tempat lain,” ujarnya.

Goh berkata, sudah tiba masanya pihak pengusaha pelancongan bekerjasama dengan agensi-agensi tempatan menganjurkan aktiviti yang mampu menarik pelancong asing.

“Kita percaya dengan siapnya projek Taman Tema Air Senadin bernilai RM250 juta bakal menjadi ikon pelancongan terbaharu dan mampu menarik pelancong ke Miri,” jelasnya.

Selain ikon terbaharu itu, ransangan seperti penganjuran aktiviti bertaraf antarabangsa seperti Kejohanan Memancing Laut Dalam dan Kejohanan Perahu Layar juga dijadikan tarikan pelancong.

“Melalui pelbagai aktiviti dan projek pembangunan pelancongan baharu, sekurangkurangnya menambah daya tarikan kepada pelancong untuk datang ke sini,” katanya.

 

Advertisement