Anda di sini

Penduduk Rumah Jarek teruja kehadiran Najib

Advertisement

MIRI: Lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Rumah Panjang Jarek, Sibuti pada esok merupakan satu penghormatan besar bagi masyarakat Iban Sarawak.

Ketua Masyarakat Iban Miri, Pemanca Wilson Siang Lim berkata lawatan berkenaan akan menjadi begitu bermakna kepada penduduk di kawasan berkenaan.

“Kita secara keseluruhannya kita tidak sabar menerima lawatan Perdana Menteri dan sangat teruja dengan kedatangan beliau pada 2 Jun ini (esok),” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Menurutnya, segala persiapan sedang giat dijalankan khas untuk menyambut pemimpin nombor satu negara itu.

Ini kerana, beliau faham dengan jadual lawatan pemimpin itu yang terlalu ketat dengan tanggungjawab sebagai Perdana Menteri tetapi pada masa sama sempat menjenguk ke Rumah Jarek.

“Untuk menyambut Perdana Menteri, kita bakal mengadakan beberapa program bercorak tradisonal,” jelasnya.

Sebelumnya, Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang menyifatkan lawatan Najib sebagai seorang pemimpin yang sedaya upaya menyelami dan memahami kehendak serta aspirasi rakyat.

Najib dijadualkan berada di Sarawak pada hari ini manakala lawatannya bermula di Long Silat, Baram pada sebelah pagi.

Sebelah petang, lawatan diteruskan ke Rumah Jarek, Sibuti sementara sebelah malamnya Najib bersama acara kemuncak sambutan Gawai di Dataran Kipas Miri.

 

Advertisement