Anda di sini

‘Malam Beranchau Tikai Gawai’ bukti AGBI sayangkan adat Iban

Advertisement

Oleh Ambrose Rirang //

LANCAR: Moderator Kelab Portal AGBI Daisy Senabong (lima kiri) melancarkan logo kelab pada majlis berkenaan.

BIAR mati anak jangan mati adat, begitulah perumpaan yang dapat diungkapkan buat Kelab Portal Facebook Adat Gawai Bansa Iban (AGBI) yang telah menganjurkan Malam Beranchau Tikai Gawai 2014 di Hotel Parkcity Everly, Bintulu baru-baru ini.

Majlis yang gilang-gemilang serta penuh tradisi itu dihadiri lebih daripada 300 orang tetamu yang rata-ratanya merupakan ahli kelab portal berkenaan dari seluruh negeri ini selain ahli-ahli dari Kalimantan Barat, Indonesia.

Majlis dimulakan dengan acara ‘Ngalu Pengabang’ yang menyambut kedatangan para tetamu yang diketuai oleh Tuai Pengabang (ketua rombongan), Rintai Edmond dengan penuh tradisi.

Acara tersebut dilakukan oleh ahli-ahli kelab dari Bintulu selaku tuan rumah pada tahun ini.

PENUH TRADISI: Sebahagian daripada para tetamu yang mengenakan pakaian tradisi pahlawan Iban.

Sejurus selesainya acara Ngalu Pengabang, ianya disusuli dengan upacara miring yang merupakan satu upacara memohon keberkatan daripada Petara (Tuhan) dalam kepercayaan lama masyarakat Iban.

Bagi memeriahkan majlis, pelbagai tarian, nyanyian dan sajak klasik masyarakat Iban di negeri ini seperti ‘Mupu Kenyalang’, ‘beganu’, ‘bepantun’, ngajat dan sebagainya telah diketengahkan.

Rata-rata warisan tersebut dipersembahkan sendiri oleh ahli-ahli kelab yang berbakat dalam bidang berkenaan.

Kelab yang ditubuhkan sejak dua tahun lepas hingga sekarang telah mempunyai lebih daripada 10,000 orang ahli yang terdiri daripada Kaum Dayak khususnya Iban dari pelbagai peringkat umur di seluruh negeri Sarawak.

Advertisement