Anda di sini

Keropok lekor lembut dan sedap tercipta selepas 99 kali mencuba

Advertisement

Oleh Rusnan Mustafa //

TEKAD yang tinggi meskipun pernah gagal 99 kali menjadi batu asas kejayaan seorang anak muda untuk berjaya dalam bidang usahawan keropok lekor.

Menceritakan kisah hidupnya, Junaidi Kaderi dari Kampung Tanjung Bundong berkata, resipi membuat keropok lekor itu diilhamkannya sendiri hasil 99 kali cubaan.

“Saya pernah memberitahu kepada emak dan bapa, kalau kali ini (kali ke-100) tidak berhasil juga membuat keropok lekor yang lembut dan sedap, saya akan berhenti dan mencuba yang lain.

“Namun, hasil kesungguhan ini akhirnya saya dapat mencipta resipi sendiri untuk membuat keropok lekor yang lembut dan sedap,” katanya ketika ditemui di kediamannya semalam.

Junaidi memberitahu, kini dia mempunyai enam pelanggan tetap yang membeli keropok lekor mentah daripadanya setiap hari.

RESIPI SENDIRI: Junaidi menunjukkan keropok lekor yang sudah disiap untuk dijual.

Tambahnya, setiap hari dia akan dibantu oleh isterinya Siti Masayu Shandan dan adiknya, Sajiha Kaderi untuk menyiapkan 450 batang keropok lekor sehari untuk diagihkan kepada pelanggan tetap dan dijual.

“Kalau musim perayaan permintaan keropok lekor ini akan meningkat dan semalam (kelmarin) saya bersama isteri dan adik saya membuat 750 batang.

“Malah hari ini (semalam) kami membuat 900 batang keropok lekor untuk tempahan Hari Gawai,” katanya sambil menambah harga sebatang keropok itu hanya dijual pada harga seringgit.

Mengulas lanjut tentang keropok lekor hasil resipinya sendiri itu, Junaidi berkata, ia kembang apabila digoreng dan tidak keras apabila sejuk serta sentiasa lembut untuk dimakan.

“Saya menggunakan ikan sardin sebagai bahan utama keropok lekor ini,” kongsinya lagi.

Selain dijual kepada pelanggan tetap, katanya, setiap hari dia bersama ibunya turut membuka gerai jualan keropok lekor yang sudah digoreng di Pangkalan Feri Muara Tuang.

Pada masa sama Junaidi berhasrat untuk menganjurkan kursus membuat keropok lekor di bahagian Samarahan untuk berkongsi pengalaman sendiri kepada mereka yang ingin menjadi usahawan keropok lekor.

“Saya baharu sahaja mendaftarkan diri menjadi peserta projek industri asas tani di bawah IADA pada bulan April lalu untuk mengadakan kursus membuat keropok lekor di bahagian ini,” katanya.

Dia menyarankan orang ramai yang berminat membuat tempahan keropok lekornya agar datang ke gerai jualannya di Pangkalan Feri Muara Tuang atau menghubungi 013-8139332.

Advertisement