Anda di sini

Hotel Seri Malaysia bangun sektor pelancongan Lawas

Advertisement

Oleh Mastura Ismail //

LAWAS: Penubuhan Hotel Seri Malaysia (HSM) sejak tiga tahun lalu di sini berjaya membangunkan sektor pelancongan domestik dalam mempromosikan Lawas sebagai daerah mempunyai keunikan budaya, cara hidup, kepelbagaian makanan serta keindahan flora dan fauna untuk diterokai.

Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata HSM perlu terus memperhebat aktiviti mempromosikan daerah Lawas di bawah satu pakej pelancongan menyeluruh.

“Lawas perlu dimasukkan dalam satu pakej pelancongan menyeluruh merangkumi acara sukan, budaya dan kepelbagaian aktiviti setiap kali HSM menjalankan aktiviti promosi dalam dan luar negara,” katanya pada Majlis Ulang Tahun Ketiga dan Hari Pekerja HSM, di sini malam kelmarin.

Hadir sama Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agung, Residen Bahagian Limbang Maria Hasman, Pegawai Daerah Lawas Hussaini Hakim, Pengurus Residen HSM Lawas Mohd Amin Othman, Setiausaha Majlis Daerah Lawas, Zulkifli Sahari dan Awang Damit Ali Hasan.

Awang Tengah berkata, bagi memperkenal Lawas kepada luar HSM perlu menjalinkan kerjasama dengan pelbagai agensi melibatkan hotel lain dari Sabah, Brunei, Labuan dan Semenanjung Malaysia.

Katanya, pelbagai aktiviti hebat turut berjaya dianjurkan HSM untuk menarik pengunjung datang ke Lawas yang lebih dikenali dengan produk ikan tahai.

“Malah, aktiviti seperti Minggu Motosikal Berkuasa Tinggi Lawas yang diadakan tahun lalu berjaya menarik penyertaan wilayah luar.

“Selain itu, hubungan dan kerjasama baik antara HSM dan jabatan kerajaan Brunei, Sabah dan pihak lain berjaya mempromosikan industri pelancongan di bawah satu pakej menyeluruh,” jelasnya.

Beliau berkata, satu jawatankuasa khas ditubuhkan antara Sarawak dan Brunei dalam membangunkan industri pelancongan yang memberi manfaat kepada kedua-dua buah negara.

Katanya, banyak permohonan juga diterima daripada syarikat tempatan untuk membina lebih banyak hotel bajet di daerah ini dalam usaha menangani kekurangan prasarana penginapan di sini setiap kali berlangsungnya acara besar di Lawas.

Awang Tengah juga mahu HSM mengekalkan kualiti perkhidmatan dan kepuasan pelanggan bagi memastikan mereka datang secara berterusan selain menitikberatkan kemudahan penginapan yang selesa dan memuaskan.

Dalam pada itu, kerajaan akan terus melaksanakan sistem perhubungan jalan raya khususnya di bawah pelaksanaan Projek  Lebuh Raya Pan Borneo dari Kuching hingga ke Sabah.

“Kerajaan pusat bersetuju memasukkan Limbang dan Lawas di bawah pakej diberi keutamaan dalam projek tersebut,” katanya.

Selain jalan raya, kerajaan turut berusaha membina Lapangan Terbang Baharu Lawas memandangkan lapangan terbang lama yang digunakan sekarang hanya dapat menampung pesawat Twin Otter.

“Kita berharap tapak bagi pembinaan Lapangan Terbang Baharu Lawas akan diberi keutamaan kerajaan pusat,” katanya.

Advertisement