Anda di sini

Bantu tingkatkan jumlah penderma darah: Dr Hilmi

Advertisement

Penderma hanya 2.5 peratus, rakyat melebihi 28 juta orang

GEORGE TOWN: Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya semalam berkata semua pihak perlu mengambil inisiatif untuk meningkatkan jumlah penderma darah di negara ini.

Setakat ini peratusan penderma darah di seluruh negara masih rendah iaitu sebanyak 2.5 peratus daripada jumlah keseluruhan populasi rakyat Malaysia yang melebihi 28 juta orang, katanya kepada pemberita selepas merasmikan kempen derma darah dan karnival mini anjuran Shell MS Masha Enterprise di sini semalam.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan Malaysia perlu menggiatkan lagi usaha menerusi pelbagai kempen dan program untuk menarik minat orang ramai menjadi penderma darah bagi memastikan bekalan darah dalam negara mencukupi.

Dr Hilmi juga berkata setiap kempen dan program yang dirancang perlu lebih inovatif dan menyediakan maklumat terperinci berkaitan kelebihan menderma darah.

“Kita harap lebih ramai lagi rakyat Malaysia yang sudi untuk menderma darah, seorang penderma boleh menyelamatkan sekurang-kurangnya tiga nyawa, golongan muda adalah digalakkan untuk menjadi penderma darah.

“Golongan wanita juga boleh menderma darah dan kalau kita menderma darah kita akan jadi lebih sihat kerana darah itu akan berganti,” katanya.

Program yang diadakan dengan kerjasama Hospital Pulau Pinang (HPP) itu merupakan program yang julung kali diadakan oleh stesen minyak di negeri ini dengan tujuan memperluaskan kempen derma darah serta menyediakan saluran penabungan bagi membantu menyelamatkan nyawa.

Selain itu Dr Hilmi berkata pihak Kementerian Kesihatan juga sedang menjalankan kajian bagi membolehkan individu yang berusia 60 tahun ke atas menderma darah.

“Sebelum ini individu yang berusia 60 tahun ke bawah sahaja dibenarkan untuk menderma darah dan kajian sedang dilakukan bagi membolehkan warga emas untuk turut sama menjadi penderma,” katanya. — Bernama

Advertisement