Anda di sini

Arena akuatik tidak hampakan atlet Bumi Kenyalang

Advertisement

PERLIS: Arena akuatik tidak menghampakan kontinjen Sarawak pada hari ketiga dengan tambahan satu lagi emas menerusi acara 400m Gaya Bebas Lelaki yang dimenangi Vernon Lee pada temasya SUKMA XVII di sini semalam.

Selain emas Vernon, dua perak dan satu gangsa turut dirangkul masing-masing dalam acara 4x100m Gaya Bebas Lelaki, 400m Gaya Bebas Wanita dan 100m Kuak Lentang Lelaki.

Vernon yang hampa setelah sekadar meraih perak dalam acara 200m Kuak Kupu-kupu Lelaki mempamerkan kehebatan sebenar dengan mengungguli acara tersebut dengan catatan masa terbaik 04:00.45s.

Atlet Selangor meraih perak manakala gangsa dirangkul perenang Wilayah Persekutuan.

Dalam acara 4x100m Gaya Bebas Lelaki, perenang kebangsaan itu turun bersama Allister Chung, Ngui Jiung Wei Dan Welson Sim untuk meraih perak dengan catatan masa 3:35.13s.

Emas dimenangi perenang Selangor manakala gangsa milik Pulau Pinang.

Perak kedua Sarawak dalam acara akuatik semalam disumbang dalam acara 400m Gaya Bebas Wanita menerusi Angela Chieng Chui Fei.

Beliau mencatat  04:26.24s manakala perenang Wilayah Persekutuan meraih emas dengan catatan 04:25.57s manakala Selangor gangsa dengan catatan 04:33.68s.

100m Kuak Lentang Lelaki pula menghadiahkan gangsa menerusi Alex Tiong Sie Hung dengan catatan masa 01:00.81s.

Johor memenangi emas dan Selangor menggondol perak.

Di arena terjun, penerjun Sarawak tidak pulang tangan kosong dengan meraih satu perak dan satu gangsa.

Gandingan Kimberly Bong Qian Ping dan Tracia Irene Erik yang bersaing dalam acara Platform Terjun Berirama Wanita menghadiahkan perak dengan kutipan mata 193.38.

Wilayah Persekutuan menggondol emas dengan markah 261.78 sementara Selangor dengan markah 157.86 meraih gangsa.

Ia disusuli kutipan gangsa oleh Carlyse Chan Wee Chiek dalam acara 1m Papan Anjal Lelaki.

Beliau mengutip 315.70, namun gagal menyaingi atlet Perak dan Selangor yang mengutip emas dan perak dengan markah 319.10 dan 317.60.

Sementara itu, Sarawak memulakan misi mempertahanakan kejuaraan dalam acara taekwondo dengan cemerlang apabila berjaya menggondol dua emas pada hari pembukaan di Matrikulasi Arau semalam.

Marena Tee Zulariffin memastikan emas pertama Sarawak dalam acara tersebut setelah mengungguli kategori middle weight 67-73kg wanita.

Emas kedua dirangkul Dayang Farhanah Abang Sazali dalam acara fly weight 46kg-49kg wanita.

Advertisement