Anda di sini

Ada pihak sedia biayai pembinaan JOKARI Link

Advertisement

Projek pembinaan gabungan jambatan-terowong dasar laut itu jika diluluskan menelan kos RM8 bilion

KULAIJAYA: Walaupun gabungan jambatan-terowong dasar laut ‘Johor-Karimun-Riau Link’ (JOKARI) masih di peringkat cadangan, namun telah ada pihak yang tampil untuk membiayai pembinaannya yang menelan belanja RM8 bilion.

Dekan Penyelidikan Bersekutu Pembinaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Dr Mohd Zaimi Abdul Majid, yang mencadangkan pembinaan JOKARI Link itu, berkata pembiaya telah bersetuju untuk melabur dalam projek itu.

“Kita telah pun mengemukakan kertas cadangan kepada pihak pembiaya dan reaksi mereka adalah positif untuk membiayai pembinaan JOKARI Link. Jikalau kedua-dua negara (Malaysia dan Indonesia) menyokong projek ini, ia akan menjadi realiti,” katanya kepada Bernama dalam temuramah baru-baru ini.

JOKARI Link, katanya, melibatkan pembinaan jambatan sepanjang 5km yang menghubungkan Kukup, Pontian ke pulau buatan manusia yang terletak di perairan antarabangsa di Selat Melaka.

Menurut Dr Mohd Zaimi, pihaknya mencadangkan pembinaan terowong dasar laut sepanjang 13km bagi menghubungkan pulau buatan manusia itu ke Pulau Karimun Kecil, Riau, Indonesia.

“JOKARI Link boleh disiapkan dalam tempoh tujuh tahun,” katanya.

Beliau yang enggan mendedahkan identiti pembiaya itu berkata mereka telah melakukan kajian aspek pulangan pelaburan dan menjangkakan tempoh antara 15 hingga 16 tahun untuk memperoleh kembali modal pelaburan.

Jika pembinaan JOKARI Link memperoleh lampu hijau daripada kedua-dua negara, Dr Mohd Zaimi meramalkan Malaysia dan Indonesia akan menerima kesan limpahan ekonomi yang besar.

“Johor akan menerima kebanjiran industri hiliran berasaskan minyak, gas, arang batu serta batu granit memandangkan Riau merupakan antara negeri pengeluar terbesar komoditi-komoditi terbabit di Indonesia,” katanya, sambil menambah Johor akan memperoleh kemudahan mendapatkan sumber tenaga kerja.

Beliau berkata kajiannya menunjukkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara akan melonjak beberapa peratus berikutan aktiviti ekonomi yang dijana hasil kewujudan JOKARI Link.

Menurut Dr Mohd Zaimi, beliau telah ke Tanjung Balai, Karimun bertemu kepimpinan Kepulauan Riau dan Ketua Pengarah Departemen Transportasi, Indonesia yang menyambut baik pembinaan JOKARI Link itu.

Beliau juga akan ke Jakarta Ogos ini untuk mengadakan perbincangan lanjut dengan pemerintah pusat, selain membentangkan cadangan projek itu kepada kerajaan negeri Johor.

Cadangan pembinaan JOKARI Link juga akan dikemukakan kepada Unit Kerjasama Awam-Swasta (UKAS) Jabatan Perdana Menteri, kata Dr Mohd Zaimi.

Katanya pembinaan JOKARI Link jika mendapat restu kedua-dua negara akan mengikut model dan teknologi pembinaan Jambatan Oresund yang menghubungkan Copenhagen, Denmark dengan Malmo, Sweden.

Jambatan Oresund, kata Profesor di Fakulti Kejuruteraan Sivil, UTM itu, turut menggabungkan pembinaan jambatan dan terowong dasar laut.

“JOKARI Link perlu memiliki terowong dasar laut kerana kita tidak mahu mengganggu perjalanan kira-kira 50,000 pelbagai jenis kapal yang berulang-alik menggunakan Selat Melaka setiap tahun,” katanya.

Dr Mohd Zaimi juga mendedahkan, dua syarikat kejuruteraan antarabangsa dari Korea Selatan dan Perancis telah berhubung dengannya baru-baru ini menyatakan minat untuk terlibat sama dalam pembinaan JOKARI Link.

Syarikat kejuruteraan dari Korea Selatan itu, katanya, bertanggungjawab membina Busan-Geogje Fixed Link yang juga menggabungkan pembinaan jambatan dan terowong dasar laut.

Katanya kedua-dua syarikat itu memiliki teknologi ‘Immersed Tunnel’ yang dicadangkan untuk digunakan di JOKARI Link, berikutan kos pembinaannya yang lebih murah berbanding ‘Boring Tunnel.’ — Bernama

Advertisement