Anda di sini

14 kes kemalangan maut dengan 16 kematian di tiga daerah dicatat

Advertisement

SARIKEI: Sebanyak 14 kes kemalangan maut yang mengakibatkan 16 kematian berlaku di tiga daerah iaitu Sarikei, Meradong dan Julau bermula Januari hingga April tahun ini.

Bagi daerah Sarikei terdapat sembilan kes kemalangan maut yang mengakibatkan 10 kematian, empat kes di daerah Meradong dengan lima kematian dan satu kes di daerah Julau dengan satu kematian.

Ketua Polis Daerah (KPD) Sarikei Superintenden Poniman Margiman berkata, kebanyakan kemalangan ini berlaku di lapan lokasi.

“Kawasan kemalangan terbabit ialah Kilometer 422 Jalan Betong/Sarikei/Meradong, Kilometer 423 Jalan Betong/Sarikei/Meradong, Kilometer 427 Jalan Betong/Sarikei/Meradong, Kilometer 431 Jalan Betong/Sarikei/Meradong, Kilometer 432 Jalan Betong/Sarikei/Meradong, Kilometer 433 Jalan Betong/Sarikei/Meradong, Kilometer 436 Jalan Betong/Sarikei/Meradong, Kilometer 450 Jalan Betong/Sarikei/Meradong dan Jalan Rentap, Sarikei.

“Antara lokasi kemalangan maut yang terletak di daerah Sarikei pula ialah Kilometer 429 Jalan Betong/Sarikei/Meradong yang telah melibatkan satu kes kemalangan maut, Kilometer 431 Jalan Betong/Sarikei/Meradong (satu kes), Jalan Repok Sarikei (satu kes), Jalan Kwang Ming/Minah Sarikei (dua kes), Jalan Sungai Pasi (tiga kes) dan Jalan Cempedak Sarikei (satu kes).

“Untuk statistik keseluruhan bagi tiga daerah terbabit (Sarikei, Meradong dan Julau)  terdapat 190 kes telah dilaporkan bermula Januari hingga April,” kata Poniman pada sidang media sempena Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Gawai Dayak, baru-baru ini.

Program ini telah berlangsung di Simpang Bulat Sarikei dengan penyampaian beg dan risalah tentang keselamatan jalan raya kepada pengguna jalan raya dan pertukaran topi keledar kepada pengguna motosikal.

Pada masa yang sama, Poniman berkata hasil siasatan yang telah dijalankan ke atas beberapa kes kemalangan yang telah berlaku di tiga daerah terbabit, punca kemalangan yang tertinggi adalah disebabkan kecuaian pengguna jalan raya sendiri.

“Faktor jalan yang tidak selamat atau terlalu berselekoh adalah masalah yang kedua.

“Namun demikian dalam mengatasi perkara ini, beberapa badan kerajaan yang berkaitan telah melaksanakan beberapa usaha termasuk menaik taraf beberapa lokasi yang berpotensi dan membina laluan berkembar bagi memberi peluang dan ruang kepada pengguna jalan raya memotong dalam situasi yang selamat.

“Kita berharap semua pengguna dapat mematuhi peraturan jalan raya yang telah ditetapkan dan sentiasa bersabar apabila memandu. Jangan memandu ikut perasaan tetapi memandu ikut peraturan,” tegas Poniman.

Sementara itu, Residen Bahagian Sarikei Dahim Nadot pada sidang media yang sama turut berkata tujuan utama kempen ini diadakan adalah untuk menjana minda masyarakat terutama pengguna jalan raya agar mengutamakan keselamatan ketika berada di jalan raya.

“Usaha ini juga adalah untuk meningkatkan taraf kesedaran dan kefahaman para pengguna jalan raya bahawa tanggungjawab ketika berada di atas jalan raya adalah tanggungjawab bersama, bukannya tanggunjawab satu pihak sahaja.

“Kempen ini akan kita adakan pada setiap musim perayaan dan kita berharap matlamat dan visi penganjuran kempen ini dapat disampaikan dengan jayanya kepada semua peringkat,” ujar Dahim.

Turut hadir Timbalan Residen (Sosial) Sarikei Alex Liau, KPD Meradong DSP Mohd Hafipi Mohd Salim, KPD Julau DSP Bidol Noyeng, Timbalan KPD Sarikei DSP Dominic Josip Nyarui dan Pengerusi Majlis Daerah Sarikei Chan Pan Chan.

Advertisement