Anda di sini

Undang-undang salah guna gam diperinci, kata Wan Junaidi

Advertisement

KUCHING: Perincian menyeluruh mengenai cadangan untuk mewartakan model undang-undang yang berkaitan dengan penyalahgunaan gam serta bahan lain kini masih giat dikaji.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pihaknya di kementerian sedang menyusun atur usul mengenai pewartaan itu sekali gus bersedia untuk membentangkannya pada sidang Parlimen bagi sesi Jun dan Julai depan.

“Kami masih mengkaji segala kewajaran dalam mengaplikasikan undang-undang yang berhubung dengan penyalahgunaan gam yang dilihat semakin menular di negara ini.

“Namun yang demikian, sekiranya kami masih memerlukan masa yang lebih panjang sebelum membentangkannya pada sesi Parlimen akan datang, saya akan berusaha mencari masa lain untuk membentangkannya iaitu pada mesyuarat pembentangan bajet dari bulan Oktober hingga Disember kelak,” katanya.

Menurut beliau, kerajaan sangat komited untuk membanteras gejala tidak sihat itu selain turut mengkaji pelaksanaan undang-undang tersebut seperti di Thailand dan Singapura.

Meskipun cadangan itu telah lama diutarakan, kata beliau, pelaksanaannya masih tertangguh kerana kerajaan perlu meneliti banyak aspek lain agar tidak menjejaskan keperluan ekonomi khususnya.

“Kami juga sedang mengkaji bagaimana langkah terbaik untuk mendaftarkan setiap nama pembekal dan penjual bagi bahan gam itu dan pada masa sama, kami juga memikirkan apakah kesan pelaksanaan undang-undang terutama terhadap bahan-bahan domestik lain yang menggunakan gam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyampaian cek peruntukan kecemasan Ahli Parlimen Santubong Siri 2 bagi 2014 di Dewan SIPEC, Jalan P.Ramlee, di sini, semalam.

Mengulas mengenai keburukan serta kesan negatif akibat pengambilan gam, Wan Junaidi menegaskan, ia boleh menjurus kepada kerosakan otak sekali gus menyebabkan negara kehilangan generasi pemangkin pada masa hadapan.

“Kesan pengambilan gam ini sangat teruk, ia boleh menyebabkan masyarakat yang mengambilnya mengalami kerosakan otak sekali gus menyebabkan mereka tidak dapat bekerja apatah lagi menjadi masyarakat yang berkualiti,” tegasnya.

Majlis itu menyaksikan seramai 53 penerima telah menerima cek peruntukan perbelanjaan berjumlah RM31,400 dari Pusat Khidmat Santubong.

Ia merangkumi bantuan yuran pengajian ke institusi pengajian tinggi (35 penerima) serta kebajikan penerima yang menghidap penyakit kronik (18 penerima).

Sementara itu, Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri (BAKTI) turut menyumbang sebanyak RM2,000 kepada Muhammad Haneef Edris yang menghidap penyakit jantung.

Hadir sama ialah Datin Fiona Junaidi dan Pemanca Rashidi Junai.

Advertisement