Anda di sini

Terminal Penumpang Sibu sesak

Advertisement

Oleh Florence Nervyn //

Ribuan balik kampung untuk Gawai, puji sistem baharu diperkenal LSS

SESAK: Keadaan orang ramai yang sesak di Terminal Penumpang Sibu yang hendak pulang ke kampung halaman.

SIBU: Terminal Penumpang Sibu (TPS) menjadi tumpuan dan sesak dengan kehadiran orang ramai yang hendak pulang ke kampung halaman sempena sambutan Hari Gawai Dayak dan cuti sekolah.

Keadaan jalan raya terutama di sekitar pusat bandar Sibu juga sesak dengan orang ramai membuat persiapan akhir menjelang perayaan Hari Gawai Dayak esok.

Tinjauan Utusan Borneo semalam mendapati LSS mempertingkat pemantauan dan kawalan semua aktiviti pengangkutan sungai bagi mengelak kejadian bot ekspres karam di Belaga pada 28 Mei lalu berulang.

Penolong Pegawai Penguat Kuasa LSS, Jerry Lenggir ketika ditemui semalam berkata keadaan di TPS adalah terkawal walaupun agak sesak dengan orang ramai yang hendak pulang ke kampung halaman masing-masing.

“Semuanya berjalan lancar dan terkawal di Terminal Penumpang Sibu ini dengan sistem yang diperkenalkan oleh LSS dalam mengawal keadaan di terminal,” ujarnya sambil menambah kira-kira 8,000 penumpang bot ekspres berdaftar di TPS kelmarin.

LSS sebelum ini memperkenal sistem ‘No Ticket, No Entry’ di mana orang ramai khususnya penumpang yang tidak mempunyai tiket tidak dibenarkan masuk ke dalam kawasan TPS.

Selain itu, LSS turut mengawal pintu masuk dan keluar terminal selain menyediakan tempat menunggu di luar terminal tersebut.

Turut membantu mengawal aktiviti pengangkutan sungai ialah pasukan Polis Marin, manakala Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) membuat pemantauan di kawasan tertentu.

Salah seorang penumpang bot ekspres, Jimmy Saoh, 21, berpuas hati dan memuji sistem yang diperkenalkan oleh LSS dalam mengawal keadaan di terminal itu.

“Sistem ini lebih teratur mengawal kesesakan penumpang bot ekspres terutamanya menjelang waktu puncak orang ramai mengambil peluang pulang ke kampung pada Hari Gawai,” katanya.

Jimmy yang bekerja di Miri berkata, beliau pulang ke kampung halaman di Nanga Aya, Kapit bersama saudaranya, Westly Malong, 23.

Advertisement