Anda di sini

Pusat sampah di lokasi komersil dihenti

Advertisement

Oleh Steve Annuar //

Lawrence kesal dengan sikap pengotor segelintir pengusaha restoran dan kedai

MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) tidak lagi menyediakan pusat pembuangan sampah di pusat-pusat komersil di sini kerana kesal dengan sikap pengotor segelintir pengusaha restoran dan kedai.

Menyifatkan perbuatan mereka sebagai keterlaluan, Datuk Bandarnya Lawrence Lai berkata MBM memberhentikan perkhidmatan tersebut bermula tahun ini.

“Kita telah memberhentikan operasi lima pusat pembuangan sampah di sini antaranya di pusat komersil Pelita dan Boulevard. Mereka seperti tidak tahu bagaimana hendak membuang sampah,” ujarnya semasa mempengerusikan Mesyuarat Ahli-Ahli Majlis di sini pagi semalam.

Lawrence berkata, perbuatan membuang sampah sesuka hati sehingga di atas atap pusat berkenaan adalah amat melampau.

Walaupun tong sampah dikosongkan, katanya, persekitaran pusat itu tetap kelihatan kotor dan berbau busuk kesan bekas sampah sarah bertaburan.

Katanya, sesetengah pengusaha juga didakwa menyalahgunakan tong sampah 240 liter yang disediakan untuk tujuan lain, sekali gus menyebabkan pusat terpaksa menanggung kuantiti sampah berlebihan termasuk sisa makanan.

“Kita mendapati banyak restoran tidak memanfaatkan tong sampah yang disediakan. Mereka membuang semua sisa makanan di pusat pembuangan sampah,” jelasnya.

Menurut Lawrence lagi, MBM menggunakan sekurang-kurangnya dua hingga tiga lot parkir untuk sebuah pusat pembuangan sampah di kawasan komersil.

“Antara sebab lain, kita memberhentikan perkhidmatan ini adalah untuk memperbaiki keadaan lot-lot parkir terbabit,” jelasnya.

Lot-lot parkir yang terletak berhampiran dengan pusat tersebut tidak dimanfaatkan sepenuhnya kerana keadaan kotor dan bau, jelasnya.

“Dengan memindahkan pusat ini kita dapat menyediakan lebih banyak lot-lot parkir untuk penduduk di sini, “ katanya.

Advertisement