KANGAR: Penerjun pelapis wanita negara menguasai podium dalam acara 1m papan anjal pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-17 di Pusat Akuatik, Kompleks Sukan Negeri di sini semalam.
Kontinjen Perak mendominasi kedudukan 1-2 dalam acara itu menerusi Jasmine Lai Pui Yee apabila mencatat 242.54 mata untuk menewaskan rakan sepasukan Kam Ling Kar yang memperoleh 239.85 mata.
Pingat gangsa pula jatuh kepada penerjun Selangor, Adeline Chin Wei Ling yang mengumpul 227.45 mata.
Lai berkata walaupun bertanding di peringkat Sukma namun kehadiran atlet kebangsaan menjadikan pertandingan itu mencabar dengan standard peserta lebih seimbang.
“Keupayaan kami lebih kurang sama sahaja, jadi saya memerlukan teknik dan usaha lebih sedikit untuk berada di tempat pertama,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian pingat.
Lai, 19, yang mengenali Kam sejak berusia 10 tahun, berkata baginya pertandingan ‘tidak mengenal kawan atau musuh’.
Sebelum ini, gandingan Lai dn Kam meraih pingat emas acara 3m terjun seirama.
Lai, yang akan menyertai acara platform terjun serirama wanita dan 3m papan anjal wanita tidak mensasarkan sebarang pingat tetapi akan mencuba untuk meraih pingat emas pada Sukma keempatnya itu.
“Saya mahukan yang terbaik dan akan cuba yang terbaik bagi memastikan saya meraih lebih banyak kejayaan,” kata penerjun yang akan menyertai Kejohanan Akuatik Asia Tenggara di Singapura, akhir Jun ini. — Bernama