Anda di sini

Najib akan terima gelaran tertinggi daripada Orang Ulu

Advertisement

MIRI: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan mendapat gelaran tertinggi masyarakat Orang Ulu (Kenyah) iaitu ‘Balan Nyanding’ ketika lawatan beliau ke Long Silat, Baram pada 2 Jun nanti.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Telang Usan Dennis Ngau Jok, gelaran berkenaan membawa maksud ‘Pahlawan Terbilang Orang Ulu.’

“Kami turut akan adakan satu upacara khas untuk beliau yang selalunya diadakan kepada pahlawan kita pada zaman dahulu iaitu  ‘Pu’un Pengudip’,” katanya kepada Utusan Borneo kelmarin.

Katanya sekitar 3,000 penduduk sekitar Long Silat bakal menyambut orang nombor satu negara itu pada 2 Jun ini.

Pihak urus setia juga bakal menyediakan kemudahan kenderaan pacuan empat roda sebanyak 250 buah dan 60 buah bot untuk kegunaan orang ramai ke kawasan dimaksudkan.

“Datanglah beramai-ramai dan sambut dengan penuh kemesraan kerana ia adalah budaya kita sebagai masyarakat Orang Ulu,” jelasnya.

Dennis turut memberitahu orang ramai untuk datang secara ikhlas dan bukannya atas dasar imbuhan.

Mengenai pengisian program ketika hari bersejarah lawatan Najib itu nanti, antaranya adalah persembahan kebudayaan, demonstrasi membuang hampas padi secara tradisional dan demonstrasi menghasilkan sagu daripada batang rumbia daripada masyarakat Penan.

Dalam pada itu, Dennis bakal menyampaikan beberapa permintaan berkaitan keperluan penduduk tempatan termasuk pembinaan jambatan ke pekan Long Lama serta bekalan air bersih di Poyut-Nibong, Marudi.

“Kami juga akan membuat permintaan agar proses baik pulih sekolah-sekolah dipercepatkan,” jelasnya.

Antara permintaan lain adalah membina sistem jalan raya, bekalan air bersih dan bekalan elektrik.

“Untuk elektrik, kami cuba memohon sama ada ia dijana secara solar (daripada tenaga matahari) atau mikrohidro (daripada empangan kecil),” tambahnya.

Advertisement