Anda di sini

Mohd Arif menangi emas acara 400m

Advertisement

PERLIS: Atlet olahraga menghadiahkan satu lagi pingat emas buat kontinjen Sarawak pada hari kedua acara tersebut di Stadium Tuanku Syed Putra di sini semalam.

Mohamad Arif Zulhilmi Alet menceriakan kem pasukannya setelah memenangi emas dalam acara akhir 400 meter lelaki dengan mencatat masa terpantas 47.42s.

Atlet Sukan SEA Myanmar 2013 itu meninggalkan atlet Terengganu, Mohd Fairol Nazim Mohd Noor di tempat kedua dengan catatan masa 47.89s.

Anchois Aron dari Sabah dengan catatan masa 48.10s di tempat ketiga.

“Ini merupakan catatan masa terbaik pernah saya capai dalam acara ini,” kata Arif dengan gembira ditemui selepas aksinya di sini semalam.

“Saya sangat gembira kerana akhirnya berjaya membantu Sarawak memenangi emas,” ujarnya.

Pada SUKMA dua tahun lalu, Arif sekadar menduduki tempat keempat.

Beliau sekali lagi akan turun berentap dalam acara kegemarannya 200 meter hari ini.

Sementara itu, atlet lontar peluru Grace Wong gagal mengulangi pencapaian meraih perak pada SUKMA 2012 di Pahang apabila sekadar membawa pulang gangsa dalam acara tersebut.

Atlet berusia 14 tahun dari Sarikei itu berjaya memperbaiki lontarannya pada edisi kali ini sejauh 11.98m.

Namun, ia tidak mencukupi untuk menewaskan Bibi Nuraishah Ishak yang melakukan lontaran sejauh 12.71m untuk memenangi emas.

Perak pula dirangkul Chin Poh Kuan dari Pahang dengan lontaran sejauh 12.19m.

Juara bertahan, Casier Renee Lee juga dari Sarawak sekadar menduduki tempat keempat dengan lontaran sejauh 11.63m.

Turut kecewa pemenang pingat emas dalam acara 5,000m pada SUKMA 2012 Nur Aisyah Ahmat apabila sekadar menduduki tempat keempat pada acara akhir semalam.

Advertisement