Anda di sini

Mah tidak mahu jawatan menteri menerusi senator

Advertisement

Calon BN itu hanya akan menjadi menteri jika menang PRK

TELUK INTAN: Presiden GERAKAN Datuk Mah Siew Keong semalam mengulangi pendiriannya yang tidak akan menerima sebarang jawatan dalam Kabinet menerusi pelantikan sebagai senator.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Parlimen Teluk Intan itu tetap bertegas beliau akan hanya menerima jawatan menteri jika menang pilihan raya kecil itu hari ini.

PRK itu menyaksikan pertandingan satu lawan satu dengan calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud.

“Saya sudah menegaskan sekiranya kalah saya tidak menjadi senator,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sarapan pagi bersama 25 badan bukan kerajaan (NGO) kaum India di sini, semalam.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Timbalan Pengerusi BN dan Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Mah berkata demikian ketika diminta mengulas kenya-taan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa Mah akan dilantik menganggotai Kabinet sekiranya menang pada PRK itu.

Najib berkata demikian kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan enam hari beliau ke China, kelmarin.

Menyentuh mengenai DAP, Mah berkata pengundi PRK Teluk Intan perlu menyedari DAP tidak akan menurunkan calonnya untuk bertanding dua kali di kawasan Parlimen itu, walaupun calonnya menang.

“Tidak pernah satu calon DAP tanding dua kali, yang menang pun lari, yang kalah pun lari. Saya kalah tetapi saya masih di Teluk Intan…saya tak lari sebab ini adalah kampung saya,” kata Mah yang merupakan wakil rakyat Teluk Intan selama dua penggal sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 1999.

Mah walaupun kalah dalam PRU 2008 dan 2013, tetap terus bertanding di PRK kali ini.

Sementara DAP, walaupun menang pada PRK Teluk Intan 1997 melalui calonnya M. Kulasegaran dengan majoriti undi 2,916 dengan mengalahkan calon BN Dr Chee See Choke dari Gerakan, telah menukar calonnya pada PRU 1999 dengan menurun-kan N. Rajendran yang kalah dengan Mah dengan undi majoriti 2,783.

Pada PRU 2004 pula Mah yang mempertahankan kerusi itu mengalahkan calon DAP Wu Him Ven dalam pertan-dingan tiga penjuru dengan undi majoriti 9,836, dan pada PRU 2008 DAP menurunkan M.Manogaran yang berjaya mengalahkan Mah dengan undi majoriti 1,470 undi dalam satu lawan satu.

Pada PRU 2013, DAP me-nurunkan pula Seah Leong Peng, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar, yang mengalahkan Mah dengan majoriti undi 7,313 undi dalam pertan-dingan tiga penjuru.

Mah berkataa tidak pernah satu calon DAP bertanding dua kali, dan pengundi Teluk Intan perlu menyedari yang mereka sudah ditipu oleh parti itu kerana sentiasa berjanji yang calon mereka akan kerja kuat jika menang pilihan raya.

Beliau berkata pengalaman paling berharga buat dirinya sebagai bekas ahli Parlimen Teluk Intan ialah telah berjaya menyelesaikan masalah hakmilik tanah dan projek tebatan banjir berharga RM30 juta. — Bernama

Advertisement