Anda di sini

Kucupan emas sulung

Advertisement

Oleh Harry Ilias //

Sejarah baharu telah tercipta buat skuad tenis Sarawak

CIPTA EMAS: Assri (kiri), Rohizat, Alvin, Kenneth Tan dan Ariez Elyas Deen Hesham meraikan kejayaan menggondol emas dalam acara tenis berpasukan lelaki.

PERLIS: Sejarah baharu tercipta buat skuad tenis Sarawak apabila berjaya merangkul emas dalam acara berpasukan lelaki di gelanggang tenis Kompleks Sukan Negeri (KSN) Kangar di sini semalam.

Mereka menundukkan pasukan pilihan Selangor dengan 2-0 pada perlawanan akhir yang cukup sengit.

Mata pertama Sarawak diperolehi menerusi perseorangan pertama, Mohd Assri Merzuki yang tidak berdepan masalah mengetepikan Damien Rocky Manaval.

Pemain kelahiran Kuching itu menerima tentangan sengit pada set pertama, namun berjaya menjinakkan lawan dengan kemenangan 6-4.

Assri akhirnya dinobatkan pemenang setelah Damien menarik diri pada set kedua.

Pada perlawanan kedua pasangan beregu Sarawak, Rohizat Achop dan Alvin Teng mengejutkan pemain kebangsaan, Joshua Jordan/Colin Wong dengan kemenangan 6-4, 6-1.

Dalam acara berpasukan wanita, impian Sarawak untuk meraih emas kedua tidak kesampaian setelah tunduk 1-2 di tangan Selangor.

Pemain kebangsaan Aslina, Chua An Ping berjaya mengutip mata pertama dengan menewaskan Achnaah Rajan dengan 6-1, 6-4.

Bagaimanapun, gandingan Linda Liong/Belinda Chai gagal mengekang kehebatan Theviya Selvarajoo/Adelle Boey apabila tumpas 6-1, 6-2 bagi mengheret permainan ke set penentuan.

Selangor akhirnya menggondol emas setelah Alyssa Boey menundukkan Cecelia Lai dengan 6-1, 6-1 dalam saingan perseorangan kedua.

Kejayaan merangkul emas dalam acara berpasukan lelaki mengejutkan Pengurus Pasukan, Stevie Din sambil berpendapat Selangor berhak menang kerana mempunyai ramai pemain kebangsaan.

“Kejayaan Alvin (15) dan Rohizat (16) benar-benar mengejutkan saya kerana mereka berdepan pemain kebangsaan yang pernah bertanding pada kejohanan remaja sirkit ITF dan Kejohanan Sekolah ASEAN,” katanya di sini semalam.

Bagaimanapun, kemenangan itu didorong semangat untuk mengharumkan nama Sarawak selain insentif lumayan yang ditawarkan oleh Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS).

“Ini permulaan baik dan saya berharap semua pemain akan mengekalkan momentum kemenangan dalam acara seterusnya,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Lawn Tenis Sarawak (SLTA) Datuk Patrick Liew melahirkan rasa bangga dengan kejayaan skuad tenis lelaki merangkul emas pertama dalam acara tersebut.

“Tahniah kepada skuad lelaki selepas berjaya meraih emas. Kejayaan menundukkan Selangor merupakan pencapaian yang cukup cemerlang terutama bagi pemain beregu muda.

“Saya juga bangga dengan pemain wanita sekalipun mereka hanya merangkul perak. Ia tetap satu kejayaan yang membanggakan kita,” katanya ketika dihubungi semalam.

Pada masa sama, Patrick berharap acara seterusnya akan menghadiahkan lebih banyak emas bagi memastikan misi untuk mengekalkan kejuaraan pada SUKMA kali ini tercapai.

Acara tenis akan diteruskan dengan persaingan kategori perseorangan, beregu dan beregu campuran lelaki dan wanita pada hari ini.

Advertisement