PERLIS: Kontinjen SUKMA XVII Sarawak mengadakan Majlis Sambutan Hari Gawai di Restoran Terapung, Kuala Perlis pada 1 Jun ini.
Penolong Ketua Kontinjen Sarawak, Gerald Rentap berkata sambutan itu diadakan bagi meraikan atlet-atlet berbangsa Dayak yang tidak dapat pulang ke tanah air kerana mewakili Sarawak pada SUKMA di sini.
“Majlis ini juga bertujuan menunjukkan keunikan perayaan sambutan Hari Gawai kepada masyarakat di sini khususnya,” katanya pada sidang media di sini semalam.
Hadir sama Pemangku Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS), Lucas Kalang Laeng.
Menurut Gerald, majlis itu juga akan dihadiri Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama isteri, Tuanku Lailatul Shahreen Datuk Akashah Khalil sebagai tetamu jemputan.
Manakala Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof hadir bagi mewakili Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem.