Anda di sini

Kelancaran SUKMA XVII terganggu

Advertisement

Insiden bumbung Kompleks Renang terkoyak cemari SUKMA Perlis

KANGAR: Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-17 di sini kelmarin menyaksikan sebanyak empat rekod kejohanan diperbaharui namun sedikit tercalar dengan insiden bumbung Kompleks Renang dalam Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra terkoyak.

Kelancaran penganjuran sedikit tercalar dengan insiden bumbung kanvas di bahagian kolam renang kompleks itu terkoyak akibat tidak dapat menampung air hujan yang lebat dan angin kuat.

Bumbung kompleks itu mula koyak semasa acara terjun di kolam terjun selepas hujan selama 10 minit dan pemberitahuan kolam renang ditutup dipaparkan pada skrin keputusan keputusan elektronik (scoreboard) kira-kira jam 2.20 petang.

Sejurus selepas itu, acara terjun yang sedang dijalankan ketika itu terpaksa dihentikan dan disambung semula setengah jam kemudian sebaik sahaja hujan dan angin kuat berhenti.

Dalam pada itu, empat rekod baharu SUKMA XVII dicipta melalui dua acara memanah dan masing-masing satu dalam acara renang dan olahraga.

Dalam acara memanah di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Pauh dekat Arau, Mohamad Khairul Azam Hashim meraih pingat emas pertama kontinjen Kelantan dan turut memperbaharui rekod acara compound lelaki 90 meter dengan mengumpul 329 mata iaitu mengatasi rekod SUKMA 2010 Melaka dengan kelebihan lapan mata.

Rekod SUKMA kedua diperbaharui di gelanggang memanah ialah menerusi Nor Afisa Abd Jalil dari Negeri Sembilan bagi acara recurve 70m wanita dengan 309 mata, mengatasi rekod SUKMA Pahang 2012 dengan kelebihan empat mata.

Di Stadium Tuanku Syed Putra pula, atlet pelapis kebangsaan Michael Sia memadam rekod baling tukul besi yang dicipta Jackie Wong iaitu 55.

25m pada SUKMA Pahang dengan catatan baharu, 56.98m.

Di Kompleks Renang yang membuka tirainya kelmarin selepas tertunda sehari akibat masalah penyiapan kompleks renang, perenang elit negara, Christina Loh memadam rekod miliknya dicipta dua tahun lalu dalam acara 100m kuak dada wanita.

Loh, mewakili Wilayah Persekutuan mencipta masa 1 minit 12.23 saat untuk memadam rekod terdahulu 1:12.41s. — Bernama

Advertisement