Anda di sini

Guna Internet pasar produk

Advertisement

SADONG JAYA: Penduduk Sadong Jaya yang banyak mengeluarkan hasil produk perlu bijak menggunakan kemudahan Internet yang disediakan di situ untuk mempromosi produk dan memperluaskan pasaran mereka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata, pusat Internet yang diwujudkan di kawasan itu bukan sahaja harus digunakan untuk mendapatkan maklumat dan melayari laman sosial, tetapi boleh dimanfaatkan untuk tujuan promosi perniagaan.

“Sistem komunikasi lebih luas diguna oleh rakyat di seluruh dunia adalah Internet dan inilah peluang yang kita perlu manfaatkan untuk memperkenalkan segala produk di sini kepada orang luar supaya sumber pendapatan dan pasaran kita dapat diperluaskan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Pusat Internet 1Malaysia Sadong Jaya di pekarangan Masjid Darul Iman di sini, semalam.

Nancy yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong berkata, untuk menggunakan kemudahan itu masyarakat perlu mengetahui kaedah penggunaannya.

“Justeru, saya berharap penduduk di Sadong Jaya ini dapat belajar menggunakan Internet supaya kemudahan yang kita sediakan ini dapat diguna oleh semua lapisan masyarakat,” tambahnya.

Mengulas lanjut mengenai pusat Internet itu, beliau memberitahu ia menyediakan infrastruktur termoden dengan kelengkapan kios 1Malaysia untuk pembayaran bil atas talian selain memberi ruang kepada pengguna yang lebih besar.

“Di sini dilengkapi dengan 20 komputer dan perisian, perkhidmatan faks serta pencetak, kelas komputer kepada semua golongan masyarakat termasuk kanak-kanak dan warga emas,” katanya lagi.

Malah, menurutnya ia juga merupakan pusat sehenti yang menawarkan pelbagai kemudahan komunikasi tanpa sempadan kepada masyarakat di kawasan secara percuma.

Selain itu, katanya, penduduk setempat juga boleh menggunakan Pusat Internet 1Malaysia untuk berurusan dengan agensi kerajaan seperti memperbaharui lesen memandu, cukai jalan, permohonan bantuan, pendaftaran pertubuhan dan banyak lagi menggunakan sistem atas talian.

“Saya berharap penduduk di sini menggunakan secara pusat Internet ini secara berhemah untuk kebaikan bersama dan tidak menyalahgunakannya untuk tujuan yang tidak baik,” ujarnya.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya Aidel Lariwoo.

Advertisement